Tempatan

PDRM Pantau Rapi Tujuh Kumpulan Ajaran Sesat

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 20 Oktober 2023 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau rapi tujuh kumpulan ajaran sesat yang menarik perhatian keselamatan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam sebuah kenyataan.

Jelas beliau, antara kumpulan ajaran sesat tersebut ialah Tarekat Habib Shah, Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara (DPEIN), Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), Millah Abraham@Ibrahim (MA), Ajaran Suhaimi@SiHulk, Nur Mutiara Mutmainnah (NMM) dan The Ahmadi Religion of Peace and Light.

Dalam kenyataan itu, beliau menyatakan bahawa 51 laporan polis telah direkodkan berhubung aktiviti kumpulan ajaran sesat atau menyeleweng bagi sepanjang tahun 2022 hingga 2023.

Dalam tempoh itu juga, sebanyak 23 tangkapan telah dibuat oleh PDRM serta agensi-agensi berkaitan ke atas pemimpin atau pengikut kumpulan ajaran sesat atau menyeleweng.

Jumlah tangkapan itu melibatkan 20 tangkapan dari kumpulan Tarekat Habib Shah dan masing-masing satu tangkapan bagi ajaran ilmu akhir zaman, Nur Mutiara Mutmainnah (NMM) dan Ajaran Suhaimi@SiHulk, memetik kenyataan tersebut.

Justeru, beliau menegaskan bahawa pihak PDRM memandang serius akan penyebaran ajaran sesat yang berupaya mendatangkan ancaman keselamatan serta menggugat ketenteraman awam.

Tegasnya, pemantauan rapi dijalankan dalam perkara tersebut demi memastikan tiada penganut atau pengamal ajaran sesat yang melangkaui garisan keselamatan.

Kata beliau lagi, pihak PDRM turut menjalinkan kerjasama yang erat menjalankan siasatan bersepadu bersama pelbagai agensi serta Jabatan Agama Islam Negeri bagi membendung kegiatan ajaran sesat dan fahaman terpesong daripada disebarkan dalam kalangan masyarakat.

“Demi ketenteraman dan keselamatan awam, pihak PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi di bawah peruntukan Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi Multimedia 1998, sekiranya terdapat penganut atau pengamal ajaran sesat yang dikesan membuat sebarang tindakan atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan kegusaran awam, suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan yang boleh memudaratkan keselamatan,” kata beliau mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: