Selangor Pantau Lebih 40 Ajaran Sesat Secara Fizikal, Dalam Talian
SHAH ALAM, 23 FEBRUARI 2024 – Pihak berkuasa Selangor sedang memantau lebih 40 ajaran sesat di negeri ini yang telah diidentifikasi aktif dalam menyebarkan ajaran songsang secara fizikal serta dalam talian.
Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, pihaknya berusaha sedaya upaya untuk memantau dengan teliti ajaran sesat dan pada masa yang sama cuba memulihkan individu yang terlibat.
“Di Selangor kita ada Pusat Pemulihan Baituliman MAIS iaitu badan yang ditubuhkan untuk memulihkan individu (sesat) ini, kita ada ahli ulama yang akan membantu kembalikan mereka ke pangkal jalan,” jelas beliau.
Kenyataan itu dikeluarkan beliau sewaktu sidang media pada Majlis Penghargaan Rakan Strategik dan Rakan Media serta Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah MAIS 2024 di Hotel Concorde, kelmarin.
Beliau dalam kenyataan yang sama turut menzahirkan harapan agar mereka yang terbabit dalam ajaran songsang itu kembali ke pangkal jalan biarpun menurut beliau usaha untuk mengesan individu terlibat bukan sesuatu yang mudah.
Antara ajaran sesat yang dikesan dan dipantau termasuklah Asma Al Husna, Millah Abraham, Perjalan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) atau ajaran Sittah Annur dan Rasul Melayu.