Peniaga Buang Dekorasi Ayat Suci Al-Qur’an Di Tapak Sampah Haram N9
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
NILAI, 28 Disember 2022 – Penguat kuasa SW Corp semalam menemui longgokan pelbagai perhiasan dekorasi berasaskan ayat suci al-Quran di tapak pembuangan sampah haram dekat Jalan P/AM 2 Kawasan Perindustrian Arab Malaysia.
Menurut Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Ahmad Zaki Hamzah, berdasarkan pemerhatian awal, ia disyaki dibuang oleh peniaga perabot dari Kawasan Perindustrian Nilai 3.
“Daripada maklumat berkenaan, JHEAINS, SW Corp, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai bergegas ke lokasi dan mendapati pelbagai ayat suci al-Quran dibuang di kawasan ini.”
“Ia seperti bingkai dan perhiasan yang tertulis ayat suci seperti nama Allah, Muhammad, empat Qul, ayat seribu dinar dan sebagainya. Ia bukan helaian kertas daripada kitab al-Quran.”
Kata Ahmad Zaki lagi dalam laporan sebuah portal tempatan, “Berdasarkan jumlah barang yang ditemui, jumlahnya boleh dimuatkan dalam lori tujuh tan. Kami yakin ia bukan perbuatan individu.”
Berikutan itu, dengan kerjasama semua agensi berkenaan, kesemua perhiasan itu dibawa menggunakan lori milik MBS dan akan dibawa ke Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Seremban untuk tindakan selanjutnya.
“Bagaimanapun, kami mungkin menghadapi masalah melupuskan ayat suci ini kerana material bukan diperbuat daripada kertas. Kami mungkin terpaksa mencari tempat pelupusan persendirian.”
Tegas Ahmad Zaki, perbuatan membuang dekorasi ayat suci Al-Quran itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana mencela, menghina, dan sebagainya agama Islam.
“Ini bukan cara yang betul untuk melupuskan ayat suci al-Quran. Ia melambangkan kesucian dan kemuliaan agama Islam, malah perbuatan ini boleh menimbulkan rasa sakit hati umat Islam.”
Justeru beliau menyeru para peniaga untuk menghubungi pihak JHEAINS jika mahu melupuskan sebarang ayat suci Al-Quran.
“Kami akan membantu mereka. Kami risau ia akan menjadi amalan jika tidak dibendung,” ujarnya.