Tempatan

Suami Isteri, Anak Lelaki Ditahan Dipercayai Pengikut Ajaran Sesat Millah Abraham

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SEREMBAN, 11 Julai 2024 – Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan pasangan suami isteri berusia 40-an serta anak lelaki mereka berusia 16 tahun kerana dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Abraham, semalam.

Menurut Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah, pasangan berkenaan serta anak lelaki mereka ditahan pada sekitar jam enam petang dalam satu serbuan di dua buah rumah berasingan di Sungai Kelamah, Gemas dan Palong 3.

“Suami isteri itu ditahan di rumah sewa mereka di Sungai Kelamah manakala anaknya di rumah asal mereka di Palong 3.

“Ketika ditahan mereka tidak menjalankan sebarang aktiviti dan hasil maklumat serta risikan dilakukan, mereka dipercayai aktif sebagai pengikut ajaran sesat terbabit sejak setahun lalu.”

Hasil siasatan awal mendapati, mereka turut cuba untuk menyebarkan ajaran itu kepada ahli keluarga dan masyarakat negeri berkenaan tetapi ia disebarkan dalam kelompok yang kecil bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa.

Jelas beliau, cubaan untuk menyebarkan ajaran terbabit di negeri berkenaan sudah dikesan sejak 2019 dan kini ia cuba disebarkan kembali.

Katanya, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 iaitu berkaitan ajaran meragukan.

“Ajaran ini difatwakan haram pada tahun 2019 oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan antara fahaman salah ajaran sesat ini ialah ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli tidak sah, selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan ada syahadah yang berbeza.

“Mereka juga cuba menggabungkan tiga agama iaitu Yahudi, Nasrani dan Islam, selain menghuraikan ajaran al-Quran berdasarkan fahaman mereka tanpa berdasarkan kitab tafsir,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: