Tempatan

Lebih 18 Peratus Rakyat Perak Alami Masalah Kesihatan Mental

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

IPOH, 11 Disember 2023 – Purata 18 hingga 20 orang daripada setiap 100 orang penduduk negeri Perak didapati mempunyai masalah kesihatan mental, berdasarkan data tahun 2020 hingga 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 4,700 hingga 5,130 individu sedia ada menerima rawatan susulan dan 350 ke 600 kes baharu telah didaftarkan menerima rawatan di klinik kesihatan.

Data-data ini dikongsikan A. Sivanesan bagi menjawab soalan daripada Datuk Zainol Fadzi Paharudin (PN-Sungai Manik) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Menurutnya, penjagaan kesihatan mental merupakan tanggungjawab bersama pelbagai pihak sama ada sektor kerajaan atau swasta.

Justeru, pelbagai inisiatif dijalankan oleh Kementerian Kesihatan dalam memastikan kesihatan mental rakyat Malaysia pada tahap yang terbaik termasuklah Program Saringan Minda Sihat.

“Program Saringan Minda Sihat ini merupakan satu saringan percuma kepada individu yang hadir ke klinik kesihatan di seluruh negeri Perak di mana individu tersebut hanya perlu menjawab beberapa soalan mudah.”

“Saringan ini akan menunjukkan sama ada individu tersebut mempunyai tanda-tanda masalah kesihatan mental dan seterusnya akan dirujuk kepada Pegawai Perubatan. Saringan awal ini secara tidak langsung meningkatkan kesedaran individu tersebut terhadap tahap kesihatan mental mereka,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: