Tempatan

Bunuh Diri, Kemurungan, Masalah Mental Meningkat Di Kelantan Pasca COVID-19

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KOTA BHARU, 30 November 2022 – Kes kemurungan dan masalah mental dilaporkan semakin meningkat di negeri Kelantan dalam tempoh pasca COVID-19 terutamanya melibatkan kes bunuh diri.

Menurut kenyataan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin, laporan Tinjauan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mendapati, Kelantan menunjukkan prevalen kemurungan ialah 1.2 peratus.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengambil maklum bahawa bunuh diri antara 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab keempat kematian bagi mereka yang berumur 15 hingga 29 tahun.”

“Tingkah laku bunuh diri meliputi idea bunuh diri (suicidal ideation), rancangan bunuh diri (suicidal plan), cubaan bunuh diri (suicide attempt) dan kematian akibat tindakan bunuh diri,” katanya.

Sumber data Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikatakan menunjukkan peningkatan ketara kes kematian akibat bunuh diri iaitu sebanyak 81 peratus kenaikan pada tahun 2021 (1,142 kes) berbanding tahun 2020 (631 kes).

“Bagi tahun 2022 pula, sejumlah 467 kes bunuh diri telah dilaporkan oleh PDRM.”

Dalam pada itu, Dr Izani memberitahu, saringan kesihatan mental dilakukan sepanjang tahun bagi mengenal pasti individu yang menghadapi depresi.

“Masalah ini akan terus dirujuk untuk rawatan seterusnya dikaunseling selain menyediakan talian perkhidmatan psikiatri bagi membantu menyelesaikan masalah itu.”

“Stigma dalam masyarakat seolah-olah kemurungan ialah penyakit gila dan anggapan itu perlu dielakkan dan pengurusan tekanan perlu penyelesaian pakar berkaitan,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: