Pahang Sasar 1 Juta Penerima Hak Milik Tanah Dalam Tempoh Tiga Tahun
KUANTAN, 10 Disember 2023 – Kerajaan Pahang menyasarkan tambahan 300 ribu penerima hak milik tanah tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sasaran itu ditetapkan bagi memastikan rakyat di Pahang memiliki tanah.
Setakat ini, sebanyak 742,387 hak milik tanah negeri sudah diberikan kepada pemohon, antaranya dengan inisiatif kerajaan negeri menerusi Skim Tanah Rakyat (STR) iaitu pemberian suratan hak milik kepada peneroka Felda.
“Sejak saya dilantik sebagai Menteri Besar pada Mei 2018 sehinggalah ke hari ini, sebanyak 69,451 pemberi milikan tanah sudah pun dilaksanakan kerajaan negeri iaitu di Pekan (3,311), Kuantan (14,006), Raub (2,323), Bentong (2,743), Cameron Highlands (168) dan Jerantut (5,225).”
“Bagi daerah Maran sebanyak 4,018 hak milik tanah, Rompin (4,985), Bera (1,352) manakala Temerloh (8,511) dan 4,994 di Lipis,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dalam pada itu, sebanyak RM258.753 juta berjaya dikutip kerajaan negeri melalui inisiatif penganjuran Karnival Tanah Pahang di 11 daerah, bermula bulan Julai sehingga Oktober lalu.
“Karnival itu mampu mendidik pemilik tanah untuk lebih bertanggungjawab menunaikan kewajipan masing-masing dengan membayar cukai tanah sebelum 31 Mei setiap tahun dan akan diteruskan lagi pada tahun hadapan,” ujarnya.
Menurutnya, kerajaan negeri turut menyasarkan bagi menyiapkan rumah mampu milik berjumlah 4,342 unit melibatkan semua program perumahan bagi tahun hadapan seperti projek Rumah Mesra Pahang, Rumah Penjawat Awam Pahang dan Rumah Pahangku.