Tempatan

Kerajaan Negeri Tiada Halangan PBT Perak Guna Jawi

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

IPOH, 24 Mac 2022 – Kerajaan Negeri Perak kini mula bersikap terbuka kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengenai penggunaan tulisan Jawi pada visual papan tanda premis perniagaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, pelaksanaan penggunaan tulisan itu tidak dipaksa malah ia terletak pada kesesuaian lokaliti sesebuah PBT.

“Bagi peringkat negeri, kita tidak menetapkannya, (sebaliknya) itu adalah usaha yang dijalankan oleh pihak PBT itu mengikut kesesuaian lokaliti masing-masing.”

“Kerajaan negeri tidak mempunyai halangan sekiranya PBT terbabit sudah mendapat sokongan daripada penduduk serta dipersetujui oleh wakil daripada ahli majlis,” ujar beliau dalam satu sidang media bersempena dengan Jerayawara Dasar Kebudayaan Negara (Daken) beberapa hari lalu.

Kenyataan Datuk Nolee Ashilin itu sebagai mengulas langkah yang diambil Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) bagi pembudayaan tulisan Jawi yang menghiasi Bandar Diraja Kuala Kangsar melalui permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan selain pada papan tanda nama jalan.

“Ia kerana mereka memikirkan Kuala Kangsar adalah bandar pelancongan yang ditakrifkan sebagai Bandar Diraja dan mereka perlu mengekalkan elemen yang boleh ditonjolkan sebagai warisan dan tradisi melalui seni Jawi sebagai antara tarikan untuk daerah Kuala Kangsar,” kata beliau.

Menurut Datuk Nolee, pihaknya difahamkan bahawa permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan tersebut sudah dibawa ke mesyuarat penuh dan mendapat persetujuan daripada ahli majlis.

Berikutan daripada dapatan yang dibuat bersama peniaga setempat, keputusan mendapati rata-rata daripada mereka termasuk peniaga bukan Bumiputera turut bersetuju mengenai hal tersebut.

Setakat ini hanya dua PBT di Perak iaitu Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) dan MPKK sahaja yang melakukan langkah sedemikian.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: