Tempatan

Cuaca Panas: Bomba Beri Amaran 4 Kawasan Berisiko Alami Kebakaran Gambut Tahap Besar

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SHAH ALAM, 07 Februari 2024 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengenal pasti empat titik panas kebakaran tanah gambut yang berskala besar di seluruh negeri ini, terutama pada musim cuaca panas.

Pengarahnya, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata empat kawasan terbabit ialah Hutan Simpan Raja Muda Musa, Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan Kampung Johan Setia.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang bertanggungjawab ke atas empat kawasan itu ialah BBP Bestari Jaya, BBP Banting, BBP Teluk Panglima Garang dan BBP Andalas.

Menurutnya, JBPM Selangor telah membekukan cuti anggota bagi tujuan bersiap siaga.

“Semua peralatan operasi memadam kebakaran hutan juga akan dibuat pemeriksaan, pengujian dan penyelenggaraan segera sekiranya mengalami kerosakan.”

“Sejumlah 17 unit jentera tangki air akan ditempatkan di balai-balai bomba dan penyelamat yang bersesuaian untuk persediaan awal pelaksanaan operasi memadam api hutan atau tanah gambut.”

Selain itu, katanya, rondaan juga dilakukan secara berkala dan konsisten, di samping mengenal pasti serta merekodkan kawasan yang sering berlaku kebakaran hutan.

Tambahnya lagi, pihaknya turut melaksanakan perancangan pengurusan sumber air terbuka di kawasan yang sering berlaku kebakaran hutan, dan mengadakan mesyuarat koordinasi bersama agensi-agensi lain bagi menyelaraskan tindakan operasi.

Dalam pada itu, Wan Md Razali memaklumkan, pihaknya menerima laporan 79 kes kebakaran terbuka sepanjang Januari lalu.

“Rekod menunjukkan 37 kes kebakaran terbuka itu membabitkan sampah, diikuti belukar dan lalang (19), hutan (13) dan kebun/ladang (10).”

“Statistik kebakaran terbuka sepanjang tahun lalu pula mencatat sebanyak 209 kes, 2022 (80) dan 2021 (357),” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: