Kerajaan Jamin Penggunaan Air Tidak Terjejas Sepanjang Musim Panas
SIK, 17 Mei 2023 – Penggunaan air sektor industri, pertanian dan domestik dijamin tidak terjejas dalam menghadapi fenomena cuaca panas akibat Monsun Barat Daya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kerajaan komited mengambil langkah proaktif bagi menghadapi luruan hujan yang berkurangan dijangka sehingga September ini.
“Satu usaha secara saintifik akan dilakukan dan semua pihak sudah memperlihatkan komitmen bagi menentukan bahawa pengguna dalam tiga sektor ini hanya akan terjejas dengan kadar paling minimum,” katanya selepas meninjau situasi takungan air di Empangan Muda, pada Selasa.
BACA JUGA: 99 Kawasan Sekitar Selangor Alami Gangguan Bekalan Air Isnin Ini
BACA JUGA: Isu Kalimah Allah: Arahan Politik Sampai Mengatasi Rukun Iman – Buzze Azam
Katanya, langkah itu adalah kerjasama antara agensi kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi lain yang menguruskan perkara itu.
Mengulas lanjut, katanya bekalan air untuk sawah akan dipastikan konsisten untuk dua musim penanaman padi.
“Kita juga akan ada kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang mempunyai takungan yang setakat ini mencukupi untuk kegunaan dalam keadaan tertentu bagi menyalurkan air melalui terowong sepanjang 6.8 kilometer (KM) daripada Empangan Muda ke Empangan Pedu.”
“Begitu juga koordinasi untuk pembekalan air bagi penggunaan domestik. Koordinasi telah dilakukan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selain kerjasama dengan syarikat pembekal dan badan pengurusan air peringkat negeri,” katanya.
Mengambil maklum keadaan sumber air semasa, Zahid berkata Kerajaan berusaha mengambil langkah proaktif terutamanya di kawasan tanah gambut yang mengalami kebakaran terbuka.
“Kita juga merancang dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk melakukan aktiviti pembenihan awan terutamanya apabila Jabatan Meteorologi menjangkakan luruan hujan akan berkurangan dan tiada laluan atau pun tiupan angin yang membawa awan ke kawasan empangan di tujuh lokasi itu,” katanya.