Cuaca Panas: JPN Berkuasa Membuat Sebarang Keputusan
KUALA TERENGGANU, 11 MAC 2024 – “Semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) boleh membuat apa-apa keputusan berdasarkan garis panduan yang terdapat dalam pekeliling sedia ada,” kata Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin ketika mengulas isu cuaca panas di musim persekolahan.
Jelasnya, JPN di setiap negeri diarah memantau perkembangan suhu panas semasa dan perlu selari dengan nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan pekeliling kepada JPN di seluruh negara dalam berdepan fenomena cuaca panas.”
“Pekeliling itu sudah ada dan diedarkan sejak dulu lagi, bukan sahaja dari segi haba atau cuaca panas, juga terhadap jerebu atau bencana-bencana yang lain.”
“Oleh itu, JPN diberi kuasa dalam membuat keputusan yang sesuai bagi melindungi pelajar dan guru daripada sebarang risiko akibat cuaca panas melampau.”
Dalam pada itu, Shafruddin berkata, kementerian juga membenarkan murid-murid untuk memakai pakaian yang sesuai sepanjang cuaca panas melanda negara ketika ini.
“Kita benarkan murid-murid kita memakai pakaian selain uniform, kalau mereka memakai baju-T pun, mereka dibenarkan, pakai apa sahaja selagi mereka datang ke sekolah,” katanya.