Tempatan

Kesiapsiagaan Makanan: CPTPP Bawa Impak Negatif, Memorandum NGO Kepada Menteri

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 29 Disember 2022 – Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Mohamad Sabu bagi mendakwa bahawa penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan memberi impak negatif terhadap isu kesiapsiagaan makanan negara.

Menurut Ketua Penyelaras Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Nurfitri Amir Muhammad, memorandum dan kenyataan media yang dibuat NGO beserta pihak lain termasuk petani, penternak dan nelayan mendesak Kerajaan tidak meratifikasi perjanjian perdagangan bebas secara terburu-buru.

Dakwa mereka, CPTPP akan menjejaskan golongan petani, penternak dan nelayan secara besar-besaran di samping memberi kesan kepada keselamatan makanan dan kedaulatan rakyat Malaysia pada masa hadapan.

Sementara itu, FKMM, yang menyokong dasar dan amalan pertanian yang menjamin bekalan makanan dan kedaulatan negara, mendakwa penilaian kesan keselamatan makanan negara tidak dilaksanakan terhadap CPTPP.

Tambah beliau, “Forum ini ingin mendapatkan penjelasan sama ada Kementerian Pertanian telah menjalankan penilaian terperinci berhubung CPTPP kerana analisis kos dan faedah yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak meneliti secara langsung kesan CPTPP.”

“Tetapi suara kami sering digambarkan oleh kapitalis dan penyokong pasaran terbuka sebagai tidak berasas. Memorandum ini akan menjawab dan membongkar tuduhan jahat dengan fakta dan rujukan mengenai kesan negatif CPTPP terhadap sektor pertanian negara,” tegas Nurfitri.

Mengulas lanjut, beliau mengatakan, perkara ini harus dikongsi bersama rakyat dan perlu diusulkan dalam Kabinet supaya perjanjian CPTPP dapat dikaji semula untuk manfaat petani, nelayan dan penternak serta keselamatan makanan negara.

Memorandum itu disahkan oleh 54 organisasi mewakili golongan petani, nelayan, penternak, persatuan pengguna, alam sekitar, keusahawanan, ekonomi, sosial, hak asasi manusia, kesihatan, agama, budaya dan juga organisasi politik.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: