Isu CPTPP: Anwar Mesti Meletakkan Kepentingan Rakyat Melebihi Kepentingan Politik – Nurfitri Amir Muhammad
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 08 Januari 2023 – “Kita mahu mengingatkan bahawa Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mesti meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan politik sebelum membuat apa-apa keputusan berkaitan,” ujar Koordinator, Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Nurfitri Amir Muhammad.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan berhubung keputusan Kerajaan yang dianggap kurang bijak dan dikhuatiri berlaku atas andaian yang salah ketika menandatangani Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), baru-baru ini.
Menurutnya, agak menghairankan apabila Anwar tidak pernah sebut apa-apa perkara berkenaan CPTPP sejak menjadi Perdana Menteri, sebelum ini.
Sedangkan, perkara ini bukan baru malah memorandum telah diserahkan sejak di hari pertama beliau menjadi PM 10 di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Bagaimanapun, saya percaya PM 10 faham tentang isu yang dibangkitkan dan seharusnya memegang kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh beliau semasa menjadi Ketua Pembangkang lagi.
“Di mana beliau dalam kenyataannya menolak CPTPP ini atas alasan “Penyertaan Malaysia dalam CPTPP dilihat akan menjejaskan beberapa perkara seperti kepentingan pekerjaan, dasar tindakan pengukuhan, proses pemerolehan dalam kerajaan, serta harta intelek (IP).”
Bukan itu, sahaja malah Anwar sendiri yang berucap menegaskan,”Kita mesti jaga kepentingan negara dari segi pemerolehan, IP dan tindakan afirmatif ini kerana ini adalah bidang yang kita patut bantu rakyat sama ada bumiputera atau bukan bumiputera yang memerlukan bantuan kita.”
Di situ, jelas dapat dilihat beliau antara pemimpin yang menolak CPTPP dan memahami kesannya jika perjanjian ini diteruskan ketika menjadi Ketua Pembangkang sebelum ini.
Nurfitri sekali lagi mengingatkan Anwar Ibrahim bahawa sebagai PM 10 beliau mesti meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan selain dapat dikaji semula penyertaan Malaysia ke dalam CPTPP ini demi kemaslahatan petani, nelayan dan penternak serta keterjaminan makanan bagi mengelakkan krisis bekalan makanan yang sedang diperkatakan di seluruh dunia.
“Kita berharap PM mendengar suara kerisauan ini sekali gus tidak mengheret rakyat dalam masalah yang lebih rumit pada masa hadapan,”ujarnya.
Tambah Nurfitri, kalau kita lihat kenyataan yang diberikan oleh Tengku Zafrul sendiri pun tidak menjelaskan secara terperinci apa dan cara bagaimana isu-isu yang berbangkit tersebut ditangani oleh Kerajaan.
Tegasnya, tidak cukup dengan kata-kata umum seperti ‘kepentingan rakyat dilindungi’ tanpa menunjukkan bukti dan fakta. Kerana apa yang lebih membimbangkan kita adalah kesannya di belakang hari nanti.
Sedangkan, pihak badan bukan kerajaan (NGO) telah memberikan rujukan artikel, rujukan akademik dan bukti lapangan yang lengkap tentang lebih banyak keburukan dari kebaikan berhubung CPTPP ini supaya Kerajaan melakukan semak dan imbang secara teliti dan terperinci sebelum membuat sebarang keputusan yang jelas dan tidak akan merugikan rakyat nantinya.
Namun, malangnya dan amat mengecewakan apabila semua perkara dan isu yang dibangkitkan NGO bagi mewakili suara rakyat ini tidak pernah dijawab dan dipandang secara serius sebelum secara mendadak perjanjian CPTPP itu terus ditandatangani dengan begitu sahaja.