Kesan CPTPP Terhadap Keterjaminan Makanan Merupakan Satu Masalah Yang Besar – Chee Yoke Ling
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 01 Januari 2022 – “Kesan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) terhadap keterjaminan makanan negara adalah tidak dinilai dalam analisis kos dan faedah yang disebutkan dan hal ini merupakan satu masalah yang besar kepada negara amnya,” ujar Pengarah Eksekutif Third World Network, Chee Yoke Ling.
Menurutnya, analisis kos dan faedah yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak mengkaji kesan CPTPP terhadap petani, penternak, nelayan dan usahawan dalam sektor pertanian atau kesannya terhadap pengguna khususnya.
Didapati, setengah muka surat sahaja yang menyatakan bahawa kewajipan di bawah CPTPP untuk menyertai satu lagi perjanjian, iaitu Convention on the Protection of New Plant Varieties (UPOV 1991), tiada kesan buruk langsung kepada petani kecil.
Kesimpulan ini, dibuat tanpa merujuk kepada mana-mana kajian. Pada halnya, UPOV 1991 memberikan hak monopoli selama 20 hingga 25 tahun kepada pembiak baka tumbuhan, dan melarang petani kecil dari berkongsi atau menjual benih terlindung yang dituai dari ladang mereka sendiri.
Akta berkenaan di Malaysia yang diluluskan oleh Parlimen pada tahun 2004 jauh lebih seimbang dan melindungi kepentingan petani tempatan dan keterjaminan makanan negara. Akta ini perlu diganti dengan undang-undang yang berat sebelah dengan penyertaan CPTPP/ UPOV 1991.
Jelas beliau, apa yang juga membimbangkan kelak peluang usahawan tempatan misalnya dalam sektor pertanian akan semakin mengecil.
“Ini disebabkan lambakan produk import dan perkhidmatan asing ke dalam negara boleh menyebabkan kilang-kilang dan usahawan-usahawan tempatan gulung tikar.”
Walaupun, lambakan produk import akan menggembirakan pengguna pada jangka masa pendek. Namun, tanpa sedar ini akan menjejas pengeluar dan peniaga tempatan sehingga semua keperluan pengguna akan hanya bergantung kepada negara luar.
Maka, inilah sebabnya kami meminta pada Kerajaan baharu dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan supaya mengkaji semula tindakan ratifikasi CPTPP.
“Kita turut bersama di dalam Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) yang telah menghantar memorandum bagi menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menyampaikan kerisauan rakyat tentang penyertaan Malaysia ke dalam CPTPP sehingga kepada perhatian Kabinet sekali gus mengkaji semula keputusan ratifikasi CPTPP yang boleh menjejaskan keterjaminan makanan di negara kita.”
Malah, bukan saja kementerian pertanian tetapi setiap kementerian, Government Linked Companies (GLC) dan juga kerajaan negeri perlu membuat kajian yang lebih mendalam dan teliti terhadap kesan buruk yang bakal berlaku jika CPTPP ini diterima pakai.
Walaupun, Cost Benefit Analysis (CBA) oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) ada antaranya beranggapan bahawa trend dan situasi dunia tidak berubah bagi tempoh masa 2021 hingga 2030!
Namun harus diingat, metodologi yang biasa digunakan untuk CBA semacam ini hanyalah merupakan simulation sesuatu ekonomi dan ia tidak semestinya menggambarkan ciri-ciri dunia sebenar.
Seperkara, penting juga untuk Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim sedar bahawa CPTPP ada kesan negatifnya yang tersendiri dan selaku individu yang berpengalaman menjadi ketua pembangkang, beliau pada tahun lepas juga ada merayu kepada kerajaan PN supaya menimbang semula penyertaan Malaysia dalam CPTPP di dalam kenyataannya yang disiarkan sebuah portal bertajuk Anwar urges govt to reconsider M’sia’s participation in CPTPP (malaysiakini.com)
Justeru, kami sekarang menyeru kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau supaya menarik ratifikasi CPTPP!
Selain itu, antara penyelesaiannya ialah setiap negara yang terlibat boleh mengambil langkah ini dengan memberi notis secara bertulis, dan penarikan akan berkuat kuasa selepas 6 bulan. Ini ada diperuntukkan dalam CPTPP, ujarnya mengakhiri perbualan.
Terdahulu, Memorandum daripada FKMM ini telah pun disokong oleh 54 buah organisasi yang terdiri daripada pertubuhan petani, pertubuhan penternak, pertubuhan nelayan, persatuan pengguna, kumpulan alam sekitar, badan hak asasi manusia, pertubuhan sosial dan parti politik. Memorandum tersebut juga telah diterima oleh Mohamad Bin Sabu sendiri.