Jangan Khianati Rakyat Dengan Meratifikasi CPTPP – GABUNG
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 21 Oktober 2021 – GABUNG (Gabungan Melayu), sebuah kumpulan yang mewakili lebih 100 NGO Melayu Kebangsaan menggesa kerajaan untuk menangguhkan ratifikasi Perjanjian CPTPP.
“CPTPP adalah satu bentuk pengkhianatan pada Agenda Melayu dan Bumiputera. Agenda Bumiputera akan dihadkan dan dikurangkan untuk memberi lebih ruang kepada SME dari luar negara termasuk Perolehan Kerajaan dan Perolehan GLC dan SOE,” kata GABUNG dalam satu kenyataan.
Sebab kedua, CPTPP akan menindas PMKS tempatan khususnya dalam fasa pemulihan ekonomi ketika ini.
“Sehingga hari ini Kerajaan masih gagal menunjukkan bukti yang jelas atau pun kajian yang menunjukkan kelebihan pada ekonomi negara kecuali lambakan barangan import yang akan menindas PMKS. CPTPP hanya beri kelebihan pada industri eksport dan tidak beri kelebihan pada PMKS tempatan tetapi memaksa negara membuka ekonomi kita seluas-luasnya.”
Sebab ketiga, CPTPP hanya akan memberi kelebihan kepada sektor tertentu mengakibatkan sektor tertentu seperti pertanian, perkhidmatan, kesihatan, dan lain lain terjejas.
“Bukan sahaja Agenda Bumiputera akan dikawal selia tetapi kesan CPTPP akan beri kesan pada industri kesihatan, pertanian yang beri kesan pada pengguna dan pengeluar tempatan. Syarikat Strategic GLC dan SOE akan turut tertakluk pada CPTPP. Petronas, LTAT, Khazanah dan PNB juga tidak akan terkecuali.”
Bukan itu sahaja, sehingga ke hari ini, Laporan Kajian Kos & Manfaat bagi CPTPP masih tidak didedahkan mahupun terma rujukan kajian yang dilakukan.
Justeru, menurut GABUNG, Malaysia tidak perlu meratifikasi Perjanjian CPTPP.
“Malaysia dan sektor perdagangan tidak akan terkesan walaupun negara tidak meratifikasi Perjanjian CPTPP kerana kita sudah pun mempunyai perjanjian perdagangan dengan hampir kesemua negara CPTPP.
“Kerajaan yang prihatin mesti dahulukan rakyat dan PMKS tempatan. Kita takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong tercicir. Tangguh ratifikasi, bentang di Parlimen, fokus pada pemulihan. Jangan khianat rakyat. Kita tidak perlu CPTPP sekarang,” tegas GABUNG mengakhiri kenyataan.