NGO

Kerajaan Sepatutnya Ada Sistem Tapisan Ketat Dalam Proses Jual Beli Rumah Subsidi Golongan B40 – PPIM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 10 Ogos 2022 – “Kerajaan sepatutnya ada sistem tapisan ketat terus kepada mereka yang berpendapatan rendah B40 dan perlu mengikut kepada tahap tapisan yang ditetapkan itu sebelum meluluskan rumah subsidi untuk golongan tersebut,” ujar Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.

Menurutnya, penjualan rumah subsidi untuk golongan sasar itu dilihat seolah-olah tidak ditapis sehingga ada golongan kaya pun boleh membelinya.

“Kita juga menjadi pelik melihat realiti yang terjadi tidak seperti yang dibentangkan untuk merealisasikan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

Misalnya, takkanlah Kerajaan tidak ada sistem tapisan untuk rekod dari segi tahap gaji minimum dan sama ada bakal pembeli sudah mempunyai rumah atau belum, anak berapa orang, isteri bekerja atau tidak. Itukan kebiasaan yang akan ditanya untuk menepati ciri-ciri pemilik rumah subsidi yang disediakan oleh Kerajaan.

Jelas beliau, hal ini supaya tapisan itu hanya layak diberi kepada mereka yang melepasi tapisan, malangnya itu tidak berlaku.

Sebaliknya, orang kaya, pelabur yang mempunyai bank statement yang high profile juga melepasi tapisan malah diberi keutamaan pula.

Beliau berkata, perkara inilah yang menjadi masalah, mereka ini yang kadang-kadang ikut kaedah sendiri hanya untuk memudahkan kerja, asalkan matlamat kuota penjualan rumah tercapai walaupun tanpa ada tapisan kepada pihak yang layak dan sepatutnya menerima rumah subsidi yang disediakan khas oleh Kerajaan untuk golongan berpendapatan rendah. Kesannya, golongan miskin ini terus terabai dan tidak mempunyai rumah sendiri.

Orang Kaya Tidak Berhati Perut Fikir Keuntungan Mereka Sahaja

Menurut beliau, apa yang lebih dikesalkan golongan yang berpendapatan tinggi ini pula seolah-olah tidak berhati perut hanya memikirkan periuk mereka sahaja dan keuntungan mereka sahaja yang mahu ditambah berlipat kali ganda walaupun tergamak mengambil hak orang lain.

Bagaimanapun, kalau ikut kelayakan sepatutnyalah, jika rumah itu dilelong sekalipun orang kaya tetap tidak boleh dibenarkan untuk membeli kerana ia adalah hak untuk golongan berpendapatan rendah.

“Kita melihat isu ini jika dari peringkat tapisan sudah diperketatkan maka isu golongan kaya membeli rumah subsidi ini tidak timbul pun.”

“Sudah tentu kelayakan untuk membeli rumah subsidi ini dikhaskan untuk mereka yang melepasi tapisan dengan profil pada kadar minima yang ditetapkan untuk golongan berpendapatan rendah sahaja.”

Sepatutnya, tidak akan ada berlaku ketirisan jika perkara ini ditapis dengan betul di peringkat pengurusan penjualan beli rumah. Mereka yang diberi tugas mentadbir dan menyelia ini perlu jujur dan amanah dalam menjalankan tugas.

Tambah beliau, tidak boleh diberikan rumah ini kepada golongan yang tidak melepasi tapisan walaupun mereka itu berkemampuan sekalipun kerana sudah ditetapkan melalui prosedur bahawa rumah subsidi ini adalah hak milik untuk dijual kepada golongan sasar yang berpendapatan rendah.

Seperkara, kesedaran untuk golongan yang kaya raya ini juga perlu ada, mereka tidak boleh hanya mementingkan diri sendiri sahaja.

“Walaupun duit anda banyak tetapi belilah rumah yang selayaknya anda beli jangan dirampas hak mereka golongan berpendapatan rendah,” tegasnya.

Menurut Nadzim, mereka yang dipertanggungjawabkan juga perlu memastikan rumah itu sampai dan dijual ke tangan golongan sasar yang sudah ditetapkan. Jika tidak sampai maka di situlah berlakunya ketirisan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan pihak yang sepatutnya berhak tetapi terus dikesampingkan.

Penguatkuasaan Undang-Undang Perlu Tegas Dalam Melaksanakan Pencegahan

Tambah beliau lagi, di sinilah kita perlukan undang-undang pencegahan yang tegas dan perlaksanaannya yang cekap oleh penguatkuasaan dalam memantau gerak kerja kakitangan yang tidak telus mentadbir dan menguruskan amanah dalam kerja mereka. Perlu ada hukuman setimpal bagi memberi contoh kepada yang lain agar ianya tidak berulang agar budaya pecah amanah, budaya kroni dan memilih bulu ini dapat dihentikan.

“Kita lihat contoh jika tidak ada tapisan yang betul misalnya, habis kesemua rakyat dalam semua kedudukan kategori akan memohon bantuan Baitulmal walaupun mereka tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan sebagai penerima bantuan.”

Jelas beliau, inilah yang berlaku dalam penjualan rumah subsidi Kerajaan di mana semua pihak tidak kira kaya atau miskin memohon untuk pembelian. Tetapi seringkali golongan sasar ini akan dikemudiankan dan mereka yang kaya tetap akan diutamakan walaupun tidak sepatutnya berlaku sedemikian.

Justeru, Kerajaan perlu menyemak semula kelayakan yang telah ditetapkan ini termasuk merangka semula perlaksanaan yang lebih efisen selain memilih pegawai yang bertugas di kalangan mereka yang benar-benar berintegriti, bersih dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab agar hasrat Kerajaan untuk melihat golongan miskin ini secara keseluruhannya mempunyai rumah sendiri secara berperingkat tercapai.

“Jika tidak ianya hanyalah akan menjadi bualan ataupun perbahasan kosong di Parlimen tanpa mencapai apa-apa keputusan dalam objektif yang hendak dicapai dan golongan sasar ini akan terus diabaikan.”

“Ini baru soal perumahan kos rendah, ia masih dikira kes-kes terpencil dalam melihat ketirisan yang berlaku belum lain–lain perkara lagi,” katanya.

Terlalu Banyak Ketirisan Dari Segala Perkara Ini Sering Berlaku Dan Terus Berlaku

Beliau berkata, cuba kita lihat isu minyak petrol pula, boleh kita bayangkan ketirisan minyak petrol dalam tempoh sebulan sahaja mencapai 3 bilion hanya untuk membeli kereta Rolls Royce, Mercedes dan BMW. Kemudian beri pula subsidi kepada Indonesia, Singapura dan Thailand dengan alasan untuk beri kepada motosikal walhal motosikal hanya peroleh berapa gelen sahaja untuk digunakan, selebihnya ke mana?

“Belum kita bercerita tentang minyak masak 3 bilion subsidi dan minyak petrol 38 bilion setahun diperuntukkan. Persoalannya apa keperluannya, yang  pasti ia tetap dapat kepada orang kaya, adakah hal ini masuk akal?”

Jelas beliau, terlalu banyak ketirisan dari segala perkara ini sering berlaku dan terus berlaku. Sepatutnya dari dulu lagi kan kita sudah ada sistem, misalnya menggunakan kad pengenalan dan sebagainya. Inilah, jadinya jika semua perkara tidak diambil peduli dan tidak diambil kisah.

Misalnya, undang-undang membeli minyak masak satu orang satu peket atau dua peket sahaja untuk sehari. Tetapi perlaksanaannya ketika pembelian tidak ada pun, contohnya diminta dan disemak kad pengenalan ataupun MySejahtera pembeli yang membeli minyak itu.

“Kalau pembeli warga asing misalnya mereka rajin atur sepuluh kedai selesai masalah minyak masak subsidi dapat beli 10 peket sekali gus dalam sehari, adakah itu dipantau dan diambil kisah?” soalnya.

“Adakah Kerajaan sedar hal ini sering berlaku dalam realiti. Atas kertas siapa pun boleh sembang. Seringkali pelaksanaan itu tidak ada yang mantap,” ujarnya.

Beliau berkata, kita melihat bahawa kita sudah mencapai satu tahap yang sangat merisaukan, jika kita tidak bertindak dan buat sesuatu apa akan jadi terhadap nasib rakyat golongan bawahan yang seringkali menjadi mangsa dan ditindas.

Rakyat Perlu Bangkit Bersatu Dan Menyuarakan Hak Mereka Secara Lantang

Sudah sampai masanya rakyat perlu bangkit bersatu dan menyuarakan hak mereka secara lantang dan mempersoalkan perkara-perkara yang tidak betul oleh pihak yang diberi tanggungjawab tetapi mengkhianati sumpah jawatan dan tanggungjawab masing-masing.

Menurutnya, rakyat jangan hanya melihat sahaja ketidakadilan yang berlaku, mereka perlu bangkit dan bersuara akan hak mereka sebagai pengguna yang sering dikhianati. Datanglah dan sertailah mana-mana NGO yang berkaitan untuk memperjuangkan nasib anda.

“Kita harap ada perubahan dan ada kesungguhan, apabila rakyat sudah semakin berani menyuarakan hal-hal seperti ini Insya Allah akan ada perubahannya terutamanya dari segi pentadbiran. Tetapi apabila kita hanya terus diam sahaja dan hanya mengharapkan orang politik semata-mata memang tak jadi apalah,” ujarnya mengakhiri kenyataan.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: