NGO

Haramkan Warga Asing Sewa Rumah Mampu Milik – Presiden PERKASA

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 09 Ogos 2022 – “Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) terkejut dengan pendedahan yang dibuat  oleh seorang Pengurus dari PropertyGuru Teo Hock Thor,” kata Syed Hassan Syed Ali.

“Timbul persoalan bagaimana ianya boleh berlaku? Apakah ada salah guna kuasa atau sikap membiarkan kerana bukan lagi tanggungjawab agensi Kerajaan berkaitan setelah ianya dijual kepada pembeli pertama untuk tempoh tertentu?” soalnya.

Menurut Presiden PERKASA Malaysia itu, pendedahan beliau (Teo Hock Thor) sungguh mengejutkan. Patutlah, sekarang ini rumah mampu milik yang sudah berusia 20 – 30 tahun harganya bukan sahaja tidak mampu lagi dibeli oleh golongan B40, malah M40 juga tidak mampu.

Jelas beliau, pihak broker atau agen hartanah individu yang membelinya dengan harga kononnya ikut pasaran. Ikut pasaran adalah mengikut kehendak agen hartanah yang sebenarnya menentukan harga hartanah jenis ini.

Beliau berkata, pihak berkenaan membelinya dengan harga menarik membuatkan tuan punya tidak berfikir dua kali dan menjualnya. Maka, dapatlah ejen-ejen jualan hartanah menguasai beberapa unit rumah murah yang mana tiada lagi pembeli B40 yang baru mampu membelinya dari ejen-ejen tadi.

“Ejen-ejen hartanah tidak bimbang jika tiada yang mampu membelinya, ini adalah kerana pihak ejen hartanah menjadikan unit-unit tersebut sebagai hostel atau rumah sewa pekerja asing.”

Justeru, PERKASA mahu pihak berkuasa membuat penyiasatan dengan telus berhubung isu tersebut. Apakah perlu undang-undang jual beli atau tukar milik rumah mampu milik diperketatkan? Jika perlu, PERKASA menyokong penuh tindakan itu.

Tambahnya, antara peraturan yang wajib dikuatkuasakan adalah dilarang sama sekali warga asing menyewa rumah mampu milik. Rumah mampu milik mesti bebas dari warga asing.

“Pihak berkuasa juga boleh fikirkan satu had harga maksima untuk rumah mampu milik yang berusia 20 – 30 tahun untuk jual beli yang mana pihak berkuasa meluluskan tukar milik tersebut perlu lihat S&P yang dimeterai antara pembeli dan penjual,” ujarnya.

Leave a Reply

Back to top button