COVID-19: LAKSANA SEGERA SARINGAN MENYELURUH – PPIM
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 21 Mei 2021 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak kerajaan untuk mempercepatkan pelbagai bentuk ujian saringan COVID-19 bagi mengelakkan kesan negatif berterusan terhadap ekonomi dan kesejahteraan sosial rakyat Malaysia setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diadakan berulang kali.
Dalam seminar talian yang disiarkan di seluruh negara, PPIM mengatakan majoriti di antara 10 juta pengguna – keluarga, pengguna, peruncit, dan perniagaan – terjejas teruk akibat dari pelaksanaan PKP pada dua musim perayaan Hari Raya yang ketika ini masih berlarutan.
Keadaan ini berbeza pula di negara Amerika Syarikat, China, Korea Selatan, Britain, dan Switzerland di mana aktiviti sosial dan ekonomi telah diteruskan seperti biasa, setelah melihat kelebihan positif dalam pelaksanaan ujian saringan besar-besaran di Slovakia. Kini, kejayaan di Slovakia telah dilaporkan dalam jurnal perubatan yang prominen seperti The Lancet, British Medical Journal, Science dan Scientific American.
“Selama dua tahun berturut-turut, aktiviti sosial, perniagaan dan keagamaan semasa Hari Raya telah dihadkan. Kesannya telah dirasakan oleh hampir semua pengguna dan juga komuniti Muslim di negara ini. Pada masa yang sama, harga barangan harian terus meningkat setiap hari,” kata Pengerusi PPIM Dato’ Nadzim Johan yang juga dikenali sebagai Toqqi.
“Selain bergantung kepada vaksin, kami menggesa kerajaan untuk pelaksanaan ujian saringan nasional terhadap gejala, kadar infeksi dan juga daya ketahanan. Negara kita perlu kembali semula kepada aktiviti sosial dan ekonomi yang normal dengan segera walaupun terdapat wabak. Kos daripada penutupan sektor ekonomi telah mencapai kemuncaknya.”
“Kesinambungan harus dicapai dengan kombinasi ujian saringan peringkat nasional bersama dengan program vaksinasi,” tambahnya.
“Membuat ujian saringan adalah elemen asas bagi mengawal pandemik dan akan menjadi pemangkin untuk memacu semula aktiviti ekonomi di Malaysia.”
PPIM berkata mereka akan terus memberi program kesedaran yang berkaitan dengan perlindungan jangkitan serta akan meneroka aplikasi teknologi yang dapat membantu mengendalikan pandemik ini. Pada masa yang sama ia akan terus mempromosikan produk dan perkhidmatan halal yang sesuai bagi kesihatan diri dan pencegahan jangkitan.
Seminar yang bertajuk “PKP 3.0 – Salah Siapa?” bersama ahli-ahli panel Dr. Ismail Hamid (Direktor, Operasi Perubatan dari Amegajaya Healthcare) dan Dr. Chang Chee Seong (Perubatan Am, Medipulse Clinic).
Fokus pada seminar ini – yang pertama dari tiga sesi yang dianjurkan oleh PPIM melalui Facebook Live – adalah untuk berkongsi pandangan dan contoh dari ujian saringan Covid-19 yang dilakukan di pelbagai negara.
Perkongsian pengetahuan ini disokong oleh pakar dari Harvard Medical School, New York University, Mount Sinai School of Medicine dan Pusat Kawalan Penyakit di China.