TABUNG HAJI : JEMAAH MENTERI JANGAN CUBA MEMANDAI-MANDAI -PPIM
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) amat terkejut dengan keputusan Jemaah Menteri yang ‘melepaskan’ pengurusan Tabung Haji di bawah Bank Negara Malaysia.
Tabung Haji bukanlah sebuah institusi kewangan Islam biasa dan tidak layak untuk diletakkan di bawah pentadbiran Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. Tabung Haji adalah ‘over and above’ kewangan perkhidmatan Islam kerana tujuan utama simpanan oleh umat Islam negara ini adalah untuk tujuan menunaikan tuntutan agama itu.
Keputusan yang diambil ini kami anggap adalah bersifat bermandai-mandai dari pihak Jemaah Menteri dalam mencampuri urusan satu-satunya organisasi yang ditubuhkan di bawah satu akta khusus.
Prestasi Tabung Haji setakat ini telah dibuktikan sebagai salah satu model kewangan yang dikagumi oleh dunia khususnya di kalangan negara-negara Islam. Jaminan kerajaan ke atas simpanan ini tidak boleh menjadi asas untuk mengawas tadbir urusnya di bawah BNM kerana sudah ada akta khusus yang mengawalnya.
Tabung Haji bukan sahaja sebuah institusi simpanan tetapi sebuah institusi pelaburan yang bebas melabur dalam banyak bidang dan bukan seperti bank-bank biasa yang hanya cenderung kepada menjadi peminjam yang menawarkan perkhidmatan yang menekan pengguna.
Kami dengan ini MEMBANTAH sekeras-kerasnya keputusan Jemaah Menteri meletak Tabung Haji ini di bawah pengurusan BNM.
*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*