Tempatan

Isu Sekolah Islam Persendirian: MBSA & MBSJ Beri Tekanan – GASIS

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SELANGOR, 22 Jun 2023 – Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT dikatakan memberi tekanan yang menyukarkan lagi pendaftaran atau operasi Sekolah-Sekolah Islam Persendirian untuk beroperasi, begitu komen daripada Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Isu Pendaftaran Sekolah Islam Persendirian Selangor, Persatuan Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS), Nor Zarina Binti Mohd Azhar.

“Namun, ketika ini PBT khususnya MBSA dan MBSJ dilihat seperti memberi tekanan kepada pihak sekolah untuk mendapat kelulusan. Sebanyak 55 buah sekolah memaklumkan pendaftaran tamat pada 31 Disember 2023 mengalami kebimbangan akan perkara ini,” kata beliau lagi.

Kenyataan beliau ini adalah merujuk kepada polemik yang hangat kebelakangan ini membabitkan Sekolah Islam Persendirian yang didakwa menghadapi kesukaran untuk proses pendaftaran.

Katanya, antara tindakan yang berupa tekanan ialah sekolah-sekolah diarahkan tutup kerana tidak boleh beroperasi di lot-lot kedai malah terdapat juga beberapa buah sekolah yang telah mendapat saman dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana beroperasi tanpa kelulusan.

Jelas beliau, urusan permohonan sekolah ke pihak PBT mesti melalui atau melantik konsultan yang diiktiraf di mana ia melibatkan kos yang mencecah ribuan malahan puluhan ribu ringgit.

BACA JUGA: Demam, Selsema Tular Mungkin Kerana Gelombang Haba, Covid-19

BACA JUGA: Simpan Barang Kawalan, KPDN Temerloh Rampas 37,774 Kilogram Minyak Masak

BACA JUGA: Jerantut Dipilih Sebagai Bandar Rendah Karbon Menjelang 2030

“Kesan daripada pendaftaran yang gagal ataupun sekolah diarahkan tutup ialah murid-murid tidak dibenarkan mengambil UPKK dan PSRA khususnya tahun 5 dan tahun 6. Bukan itu sahaja, malah murid tahun 1 sehingga tahun 4 perlu mencari sekolah lain.”

“Antara isu lain yang terkait, adakah sekolah sedia ada mampu dan dapat menampung lambakan murid dari sekolah-sekolah yang ditutup ini. Ianya juga membimbangkan dan menyukarkan ibu bapa yang telah memberi kepercayaan dan keyakinan serta keselesaan kepada anak-anak mereka bersekolah di Sekolah-Sekolah Islam Persendirian ini,” jelasnya dengan lebih terperinci.

Beliau berkata, Majlis Tertinggi GASIS yang dipengerusikan oleh Dr Nik Noor Azlinda Datuk Hussain telah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan pihak Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung kesukaran urusan pendaftaran sekolah itu.

Malah, usaha untuk berbincang dengan dan memanjangkan kebimbangan tersebut ke peringkat Exco Agama Negeri Selangor juga masih tidak menemui hasil, katanya lagi.

“Melalui MAPPIM, pihak GASIS memaklumi bahawa tiada kesukaran yang teramat dihadapi oleh Sekolah-Sekolah Islam Persendirian di negeri-negeri lain.”

“Saya berpandangan, bahawa isu ini bukanlah sengaja dibangkitkan sebagai konten dalam politik untuk menghadapi PRN Dun Negeri Selangor. GASIS telah berusaha segala cara untuk membantu sekolah-sekolah di bawah keahliannya agar urusan pendaftaran mesti diperbaharui dan dipatuhi. Namun usaha itu tidak menyelesaikan isu pendaftaran sekolah malah menjadi tekanan sehingga sekolah diarahkan tutup sama ada secara bersurat ataupun secara lisan serta telah menanggung kos yang besar untuk bayaran konsultan, baik pulih dan juga saman,” jelasnya lanjut.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak yang terlibat agar dapat berbincang semula secara harmoni dan budi bicara tanpa mengenepikan aspek keselamatan.

“Janganlah dengan mudah mengakhirkan usaha-usaha pembangunan anak bangsa Melayu dan pembangunan melahirkan murid generasi murabbi melalui Sekolah-Sekolah Islam Persendirian ini dengan membatalkan operasi sekolahnya ataupun diarahkan tutup. Ianya tidak menyelesaikan masalah malah menimbulkan masalah yang lain pula,” jelasnya mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: