Tempatan

Masalah Peparitan Antara Punca Utama Banjir

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 04 Disember 2023 – “Jika pihak berkuasa tempatan (PBT) cepat bertindak terhadap laporan dan keluhan penduduk, masalah banjir kilat dan banjir termenung pasti boleh diatasi,” adu penduduk di lima negeri yang sering terlibat banjir.

Tinjauan mendapati, sungai dan parit tidak diselenggara dengan baik sehingga terlalu banyak sampah dan semak samun antara lima punca utama mengundang banjir berulang dan banjir termenung.

Tiga lagi masalah ialah pintu air tidak berfungsi, hakisan tebing dan ketiadaan ban penahan banjir.

Masalah-masalah tersebut dilapor penduduk di Kedah, Kelantan, Perak, Johor dan Selangor yang sudah bosan kerana terlalu kerap dilanda banjir kilat atau banjir termenung walaupun di luar musim bah.

“Saya duduk di kampung ini sejak tahun 1990-an. Inilah punca banjir di sini apabila air tidak dapat mengalir dengan baik malah jika hujan lebat, air dari dua sungai berdekatan kampung ini melimpah dan masuk ke kawasan rumah penduduk,” kata penduduk Teluk Intan yang ingin dikenali sebagai En Ismail.

Tidak kurang juga kejadian di Shah Alam, penduduk mengadu keadaan yang sama turut berlaku di situ, di mana sisa binaan projek pembangunan telah mengganggu saliran air sehingga tersumbat dan mencetuskan banjir kilat.

Situasi lain pula menghantui penduduk di Kluang apabila tinjauan di tebing Sungai Melantai mendapati runtuhan tebing sungai kian menghampiri jalan utama dan sekiranya dilanda banjir, ia boleh menjejaskan laluan penduduk Kampung Bentong jika jalan penghubung ke kampung itu terputus.

Namun, sehingga kini belum ada tindakan segera untuk mengatasi masalah runtuhan tebing dan tembok penghadang yang pecah.

Selain itu, di Sungai Petani, penduduk mendakwa sistem perparitan yang cetek dikatakan menjadi punca utama berlaku banjir setiap kali musim tengkujuh.

“Dari awal tahun ini hingga sekarang tiada lagi pihak berkuasa datang membersihkan sungai atau melebarkannya untuk memudahkan aliran air. Kami hidup dalam ketakutan terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu kerana bimbang kejadian banjir kilat akan berulang,” katanya.

Justeru itu, penduduk-penduduk ini merayu agar pihak berkuasa bertindak segera bagi menyelesaikan masalah banjir yang sering berlaku saban tahun.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: