Hampir 2 Tahun Peruntukan Bantuan Program Pemutihan Tahfiz Belum Dilulus Kerajaan – PU Hafiz
SELANGOR, 23 Jun 2023 – “Kementerian Kewangan diharap dapat mempertimbangkan permohonan JAKIM dan suara akar umbi Institusi Tahfiz demi melihat generasi al-Quran diperkasakan melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN).”
Bagaimanapun, setakat ini Kementerian Kewangan belum terbuka hati untuk meluluskan peruntukan bantuan Program Pemutihan dan kita tidak tahu kenapa dan apakah isu yang menjadikan pihak Kementerian Kewangan agak sukar meluluskan peruntukan yang dimohon, masih menjadi tanda tanya?
“Mungkin ada beberapa isu teknikal yang masih perlu dikemas kini bagi meluaskan Program Pemutihan ini,” ujar Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS), Muhamad Hafiz B. Muhamad Haneefa atau lebih dikenali sebagai PU Hafiz.
Jelasnya, bantuan baik pulih dari JAKIM perlu diperluaskan kepada Program Pemutihan kerana ianya melibatkan isu keselamatan bangunan Sekolah-Sekolah Agama Islam.
Tambah beliau, setakat ini JAKIM sudah memohon tetapi Kementerian Kewangan belum meluluskan sejak tahun lepas hingga ke tahun ini.
Sedangkan, kita sudah berbincang dengan JAKIM termasuk menyerahkan segala data yang diperlukan dan telah pun mendapat persetujuan dan JAKIM sendiri sudah pun membawa kepada pihak Kementerian Kewangan namun masih juga belum diluluskan.
Dalam siri pertemuan kita dengan JAKIM termasuk berjumpa beberapa kali dengan Menteri Agama dengan harapan supaya bantuan Program Pemutihan ini diluaskan bantuannya bukan sahaja untuk baik pulih tapi juga dalam isu pendaftaran. Ia kerana ini melibatkan soal keselamatan termasuk pelan bangunan sehingga kepada pembinaan tangga kedua (tangga kecemasan) serta semua kos pemutihan termasuk konsultan dan lain-lain.
Caj Pembangunan Yang Dikenakan Oleh PBT Juga Perlu Dikaji Semula
Menurut PU Hafiz, Program Pemutihan Institusi Tahfiz dan Sekolah Agama di Negeri Selangor perlu dilaksanakan dengan lebih prihatin dan bersemangat demi menyelamatkan institusi ini memandangkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai kuasa dan prosedur berbeza-beza.
Selain itu, caj pembangunan yang dikenakan oleh PBT juga perlu dikaji semula memandangkan Institusi Tahfiz dan Sekolah Agama tidak berorientasikan keuntungan `Non Profit’ yang sepatutnya tidak dikenakan caj atau denda sepanjang program pemutihan ini berlangsung.
Beliau juga turut menyarankan agar PBT tidak mengeluarkan sebarang saman kepada Institusi Tahfiz dan Sekolah Agama sehingga program pemutihan selesai sepenuhnya.
Ini kerana menurut beliau, setiap tahun memang ada dilakukan baik pulih namun isu keselamatan melibatkan PBT ini perlu mendapatkan kelulusan dan semestinya memerlukan kos.
Justeru, PITAS berharap agar semua Institusi Tahfiz dan Sekolah Agama diberi peluang dan kesempatan untuk diputihkan (legalize) tanpa perlu diambil tindakan penutupan kerana Institusi Tahfiz dan Sekolah Agama telah melahirkan modal insan berkualiti dan integrated personality yang menguntungkan bagi sebuah negeri maju seperti Negeri Selangor ini.