Tempatan

Selamatkan Nasib Murid-Murid Sekolah Persendirian Islam Di Selangor – Presiden i-Guru

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SELANGOR, 18 Jun 2023 – Kerajaan Negeri Selangor digesa untuk mengambil langkah proaktif bagi memudahkan proses kelulusan permohonan kebenaran operasi Sekolah-Sekolah Persendirian Islam dengan kelonggaran syarat yang munasabah dan bersesuaian, kata Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan.

Gesaan beliau ini adalah susulan daripada laporan berkaitan nasib Sekolah-Sekolah Persendirian Islam yang bakal terjejas operasinya akibat pekeliling terkini Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Kata beliau, sekiranya perkara tersebut tidak ditangani dengan penuh hemah, dikhuatiri nasib bagi 80 buah sekolah dan masa depan pendidikan bagi 20 ribu murid-murid bakal terjejas.

Berikutan itu, pihak i-Guru mencadangkan agar satu rundingan yang melibatkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), PBT di kawasan MBSA, MBSJ dan MBPJ serta pengurusan sekolah diadakan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

BACA JUGA: Imigresen Gempur Pasar Borong Selangor, 35 PATI Diberkas

BACA JUGA: Kegiatan Judi Belangkas Diserbu, 20 Ditahan

BACA JUGA: Fatwa Putuskan Vape Haram – Menteri Agama

Malah, pihak i-Guru turut mencadangkan agar proses kelulusan pendaftaran sekolah dengan pertimbangan syarat-syarat yang wajar dipermudahkan sama ada secara kelulusan sementara sebelum mendapat kelulusan tetap.

Dalam masa yang sama, perbincangan dengan pemegang taruh yang melibatkan peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) iaitu Bahagian Pendidikan Islam (BPI) JAIS juga diadakan bagi memudahkan urusan pengambilan peperiksaan.

Berkata lanjut, pihak i-Guru turut menyarankan campur tangan daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkaitan peperiksaan UPKK supaya mereka yang akan mengambil peperiksaan dapat diberikan kebenaran untuk mengambil peperiksaan sama ada sebagai calon persendirian mahupun menumpang.

Pihak i-Guru juga menyarankan agar anak-anak yang bersekolah di Sekolah Islam Persendirian diberi kebenaran untuk mengambil peperiksaan dengan syarat-syarat minimum melalui kelulusan pendaftaran sekolah sementara.

Justeru, i-Guru mengharapkan penyelesaian yang komprehensif dan konstruktif dari semua pihak bagi menyelamatkan institusi pendidikan Islam demi kelangsungan pendidikan anak-anak murid untuk mendapat hak dan jaminan pendidikan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: