Tempatan

Lebih 20 Ribu Pelajar Islam Bakal Hilang Tempat Di Selangor: Kita Boleh Saman PBT – Peguam

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SHAH ALAM, 21 Jun 2023 – “Kita boleh lawan PBT di Mahkamah.

Kita boleh cabar segala enakmen di Mahkamah.”

“Ambil konsep perundangan, kita saman. Saya bawa isu ini ke Mahkamah, minta hakim check di mana punca kuasanya,” tegas peguam, Khairul Azam Abdul Aziz atau lebih dikenali dengan panggilan Buzze Azam.

Kenyataan ini dikeluarkan selepas mendengar keluhan para pengusaha dan guru-guru dari Sekolah Islam Persendirian (SIP) yang berdepan dengan penolakan kelulusan memperbaharui lesen sekolah dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Tegas beliau, sekolah-sekolah agama dijamin dalam Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan hak pendidikan yang menyatakan:

‘Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.’

Jelas beliau lagi, “Selain daripada hak tuan-tuan dan puan-puan untuk menyenggara ini, hak untuk mendapatkan bajet daripada Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menubuh dan menyenggara juga dijamin.”

Kerana itu beliau menegaskan, “Jangan lagi rasa kita melukut di tepi gantang. Ada hak yang jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Mengakhiri kenyataan ketika ‘Sidang Media NGO-NGO Islam Berkaitan Kebimbangan Lebih 20 Ribu Pelajar Terancam Akibat Hilang Tempat Pendidikan Di Negeri Selangor’, Buzze Azam dari Tetuan Azam Aziz & Co itu turut memaklumkan, para pengusaha SIP boleh bertemu dengannya jika mahu menyaman pihak PBT dalam isu ini.

“Jangan bimbang pasal kos guaman. Bayaran seikhlas hati. Saya sedia membantu.”

‘Sidang Media NGO-NGO Islam Berkaitan Kebimbangan Lebih 20 Ribu Pelajar Terancam Akibat Hilang Tempat Pendidikan Di Negeri Selangor’ yang dianjurkan oleh UMMAH ini diadakan pada 21 Jun 2023 bertempat di Bilik Seminar di Shah Alam.

Dipengerusikan oleh Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa, barisan panel yang lain adalah Buzze Azam, mantan ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan, Pengerusi (Gabungan Sekolah Islam Selangor GASIS), Dr Nik Noor Azlida Datuk Husain dan Encik Fairul dari iGuru.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: