Tempatan

Empangan Susut, JPS Henti Pengairan Pertanian

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

BAGAN SERAI, 01 Julai 2024 – Empangan Bukit Merah yang kekal berada di paras bahaya berterusan menyusut menyebabkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kerian terpaksa menghentikan pengairan untuk pertanian di beberapa kawasan di sini.

Jurutera Daerah JPS Daerah Kerian, Mohd. Fisham Abu Basah berkata, langkah tersebut terpaksa diambil selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Empangan Bukit Merah apabila status semasa empangan itu mencapai paras aras henti bekalan pengairan.

“Bekalan pengairan kepada Rancangan Pengairan Kerian dihentikan kepada semua kompartmen sawah padi mulai pukul 5 petang 28 Jun lalu.”

“Bekalan air pengairan ini akan diaktifkan semula sekiranya keadaan dilihat semakin baik,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Menurut Mohd Fisham, bagaimanapun bekalan air mentah kepada loji-loji rawatan air Lembaga Air Perak (LAP) masih diteruskan.

“Dalam tempoh tersebut, pihak JPS Daerah Kerian akan mengambil langkah untuk meningkatkan kembali aras air di empangan dengan membuat takungan.”

“Pemakluman permohonan pembenihan awan juga sudah dibuat oleh pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya.

Kata Mohd. Fisham, pesawah perlu menakung air dengan rapi di kawasan masing-masing dalam tempoh Aras Henti Bekalan Pengairan.

“JPS berharap hebahan yang dibuat berhubung perkara ini, para pesawah terlibat bersedia melaksanakan penjimatan air di lapangan,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: