Air Sungai Di Pahang Dan Johor Lepasi Paras Bahaya
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
JUMAAT, 18 Mac 2022 – Paras air sungai di Pahang dan Johor direkodkan melebihi paras bahaya susulan hujan lebat berterusan sejak petang semalam, menurut laman web info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Laporan yang dikeluarkan JPS tersebut memaklumkan setakat pukul 10.45 malam tadi, kedua-dua sungai tersebut dilaporkan menunjukkan trend meningkat.
Stesen Sungai Bentong di Kuala Marong, Pahang mencatatkan bacaan 90.15 meter melebihi paras bahaya (m) berbanding bacaan normal iaitu 86 m.
Dalam pada itu, stesen Sungai Skudai di Kampung Laut, Johor Bahru turut merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 3.19 m berbanding 1.0 m bacaan normal.
Semalam, bandar Bentong termasuk beberapa buah kampung berhampiran dilanda banjir kilat yang menyebabkan 22 keluarga terjejas akibat banjir.
“Bomba Bentong dan Karak dipimpin oleh Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Kamaruddin pegawai dari zon 2 Pahang bersama Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Suhairul, Ketua Balai Bomba Karak telah menjalankan operasi pemindahan mangsa banjir di Bentong lewat malam tadi.”
Manakala, seluruh Johor diramalkan berpotensi dilanda banjir kilat berikutan peralihan monsun yang dijangka berterusan sehingga Mei depan, menurut Angkatan Pertahanan Awam (APM) meramalkan.