Tempatan

Ambil Iktibar Apa Yang Berlaku Di Palestin – Dato Paduka Dr Ibrahim Ali

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 26 Oktober 2023 – Presiden PUTRA, Dato Paduka Dr Ibrahim Ali mengingatkan masyarakat Melayu agar mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di bumi Palestin agar ia tidak berlaku di negara sendiri.

“Dalam keadaan kita orang Melayu Islam komited bersolidariti dengan rakyat Palestin, amatlah penting dan wajib kita menghayati dengan penuh keinsafan sampai ke tulang putih demi memastikan apa yang terjadi di bumi Palestin tidak terjadi di negara kita sendiri Malaysia.”

“Jika berlaku di Malaysia, orang Melayu pribumi akan hilang bumi di mana tempat berpijak dan tempat berteduh. Ya, Melayu tidak hilang di dunia, tetapi Melayu boleh menjadi pelarian kerana kehilangan tempat asalnya sendiri. Inilah yang terjadi kepada rakyat Palestin. Bukan sahaja hilang tanah dan harta benda, malah dihalau keluar dari bumi Palestin, dan kanak-kanak serta wanita dan rakyat biasanya sudah 75 tahun diseksa dengan kejam,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan tersebut, kata beliau rakyat Palestin kehilangan tanah mereka sedikit demi sedikit kepada Zionis Israel sehingga mengakibatkan penderitaan selama 75 tahun yang saban hari rakyatnya dibunuh oleh rejim tersebut tanpa perikemanusiaan.

“Zionis Israel bertindak secara terus menerus untuk memperluaskan kawasan negara Israel dan juga menjadikan Baitulmuqaddis sebagai sebahagian daripada ibu negara kepada negara haram mereka, Israel. Kedutaan Amerika di Tel Aviv juga berpindah ke Baitulmuqaddis.”

Mengulas lanjut, menurut beliau sejarah peristiwa rakyat Palestin yang kehilangan negaranya serta menjadi mangsa kepada Zionis Israel tidak banyak diketahui oleh anak muda di mana ia adalah sesuatu yang perlu diketahui serta difahami tentang pokok pangkal bagaimana rakyat Palestin boleh sampai kehilangan negaranya.

Sehubungan itu, PUTRA dalam kenyataan yang sama mengutarakan cadangan agar sebuah mata pelajaran mengenai Masjid Al-Aqsa dan Palestin diwujudkan secara khusus di seluruh Sekolah Menengah Kebangsaan di negara ini supaya kisah serta perjuangan rakyat Palestin terpahat dalam naluri serta tidak mudah dilupakan pada masa hadapan.

PUTRA turut menyeru KPM beserta FINAS dan Filem Negara untuk menerbitkan filem-filem dokumentari mengenai sejarah Palestin yang dirampas zionis Israel dalam bentuk yang mudah untuk difahami.

Malah, PUTRA turut merancang untuk mengadakan usrah atau diskusi secara kecil-kecilan buat semua ahli-ahli PUTRA bagi mengingatkan lagi tentang betapa pentingnya menyediakan payung sebelum hujan.

“Laungan dan bertakbir mengutuk Zionis Israel tidak memadai sekiranya apa yang berlaku di bumi Palestin tidak dihayati, dan kita tidak memastikan peristiwa yang sama tidak berlaku kepada orang Melayu pribumi Malaysia. Temasek sudah hilang menjadi Singapura, dan di bandar-bandar dan kawasan perniagaan semua sudah menjadi milik orang lain. Jika terjadi perkara yang sama seperti di bumi Palestin, air mata berdarah sekali pun sudah tidak berguna lagi,” ujar beliau dalam kenyataan itu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: