1.9 Juta Rakyat Palestin Kehilangan Tempat Tinggal – UNRWA
GAZA, 07 Januari 2023 – Seramai 1.9 juta orang atau lebih 85 peratus daripada jumlah penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, menurut Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
UNRWA dalam Laporan Situasi terkini berkata, kebanyakan keluarga terpaksa berpindah beberapa kali untuk mencari keselamatan di mana sehingga 30 Disember 2023, laporan itu menyebut “hampir 1.4 juta orang pelarian dalaman (IDP) berlindung di 155 kemudahan UNRWA di kesemua lima wilayah di Semenanjung Gaza”.
Tambah laporan itu, ia termasuk “160,000 di utara dan Bandar Gaza dan kira-kira 400,000 di kawasan berdekatan dengan instalasi ini dan menerima bantuan dari UNRWA”.
Laporan tersebut turut mengatakan, “2023 adalah tahun paling maut bagi rakyat Palestin di Tebing Barat sejak PBB mula mencatatkan korban pada 2005”.
Kata laporan yang sama, sehingga 1 Januari 2024, sebanyak 142 jumlah rakan sekerja UNRWA yang terbunuh sejak bermulanya peperangan itu.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 22,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 50,000 telah cedera dalam pembunuhan beramai-ramai berterusan Israel di Gaza sejak 7 Oktober dan dianggarkan majoriti yang terbunuh dan cedera adalah wanita dan kanak-kanak.