Agong & Raja Permaisuri Berangkat Ke Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih Sempena Tamat Pemerintahan
KUALA LUMPUR, 08 Januari 2024 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih hari ini.
Istiadat berkenaan berlangsung di Kem Perdana, Sungai Besi bersempena dengan tamat perkhidmatan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini serta penghargaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Seri Paduka Baginda yang merupakan Pemerintah Tertinggi ATM.
Dalam majlis tersebut, Al-Sultan Abdullah menzahirkan sukacita dengan pelbagai kejayaan yang dipamerkan ATM sekali gus menyeru agar angkatan itu terus diperkasa sejajar dengan matlamat negara untuk membentuk sebuah angkatan masa hadapan yang berupaya melindungi kedaulatan negara.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada ATM atas kesetiaan tinggi dan khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang Seri Paduka Baginda menjadi Pemerintah Tertinggi ATM.
Turut hadir, KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, dan timbalannya, Adly Zahari serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman.