Biodata Ringkas Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 05 Ogos 2021 – “Selamat Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-61 KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.”
“Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku dipanjangkan usia dan dikurniakan kesihatan yang berpanjangan.”
Sedikit sebanyak pengenalan mengenai Raja Permaisuri Agong untuk tatapan pembaca.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah telah diputerikan pada Hari Jumaat, 5 Ogos 1960 Masihi, bersamaan dengan 11 Safar 1380 Hijrah, di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru, Johor.
Baginda merupakan Puteri yang ketiga kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, Sultan Johor bersama isterinya, Enche’ Besar Hajah Kalsom.
Di antara kegiatan-kegiatan dan kegemaran Raja Permaisuri Agong pada masa lapang ialah membaca, memasak, menjahit, bermain golf dan paling utama menjaga dan bermain-main dengan Paduka-paduka Anakanda serta berbakat dalam bidang penulisan.
Sebuah buku masakan hasil air tangan Baginda sendiri bertajuk “Air Tangan Tengku Puan Pahang” telah diterbitkan dan seterusnya dilancarkan pada Mac 2005 yang lalu.
Sehingga kini penjualan buku tersebut masih lagi dijalankan dan hasilnya disalurkan terus ke TAFF.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong merupakan penaung DiRaja Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri Negeri Pahang, Pengakap Puteri Sedunia serta merupakan Naib Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia.
Baginda juga merupakan penaung The Tunku Azizah Handmade Market (TTAHM), sebuah platform menjual kraftangan yang diasaskan oleh Mostwell pada tahun 2010.
Di samping itu, Baginda juga merupakan Pengerusi PERTAP, Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Pahang (WI) serta Pengasas atau Presiden Seumur Hidup Yayasan Fertaliti Tunku Azizah(TAFF).
Bukan itu sahaja, Baginda juga merupakan Pemegang Amanah Yayasan Istana Abdulaziz (YIA) dan juga merupakan Penaung Diraja AP di Hong Kong.
Warga Samudera.my mengucapkan Dirgahayu Tuanku kepada KDYMM Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Daulat Tuanku.