Ini Masa Wanita Bersama Cari Jalan Pulihkan Negara – Raja Permaisuri Agong
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 25 Ogos 2021 – Bersempena dengan Hari Wanita Kebangsaan Ke-59 hari ini, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menitahkan, inilah masa untuk golongan wanita bersama-sama mencari jalan memulihkan negara, meningkatkan kualiti hidup serta masyarakat sekeliling.
“Setelah kita melalui kesulitan wabak Covid-19 amat tepatlah masanya untuk kita bersama-sama mencari jalan untuk memulihkan negara dengan segera khususnya bagi meningkatkan kualiti hidup kaum wanita dan keluarga mereka serta masyarakat sekeliling.”
Menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua wanita terutamanya petugas barisan hadapan, baginda berharap hari wanita tahun ini dapat memberikan keinsafan kepada semua untuk terus berusaha.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wanita buat semua rakyat secara amnya dan khususnya bagi wanita di seluruh negara Malaysia. Semoga hari wanita tahun ini memberikan keinsafan buat kita semua untuk terus berusaha menangani segala cabaran terutamanya musibah wabak Covid-19.”
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengenang jasa pekerja wanita khususnya yang berada di barisan hadapan terutamanya para jururawat, doktor, polis dan lain-lain. Personnel critical yang telah menjadi benteng negara dalam memutuskan rangkaian wabak ini dengan penuh ikhlas, amanah, kesungguhan dan semangat juang. Saya amat berbesar hati untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga buat semua pekerja ini.”
Baginda juga mengucapkan terima kasih kepada NGO wanita yang banyak membantu memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Telah sampai ke pengetahuan saya bahawa sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada bulan Mac yang lalu, NGO wanita telah banyak memberi sumbangan dalam membanteras wabak Covid-19. Mereka telah memberi bekalan makanan, keperluan harian, khidmat kaunseling dan bantuan kepada warga emas, Orang Kurang Upaya dan kanak-kanak.”
“Syabas saya ucapkan kepada semua wanita yang telah memberi sumbangan sukarela.”
Di samping itu, Tuanku Permaisuri Agong juga menitahkan untuk menggunakan teknologi demi meningkatkan mutu kehidupan.
“Saya berharap masalah dari segi menjana pendapatan, menjamin kesihatan fizikal dan mental, menjaga keselamatan dan mengukuhkan perpaduan dapat diberi perhatian.”
“Carilah jalan yang terbaik termasuklah penggunaan teknologi untuk meningkatkan mutu kehidupan.”
Di akhir titah perasmian bersempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan Ke-59, Tunku Hajah Azizah Aminah berdoa semua wanita diberi kemudahan dalam menjalankan tugasan memajukan kedudukan kaum wanita di Malaysia.
“Di kesempatan yang baik ini saya sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Wanita buat semua. Doa saya agar kalian diberi kemudahahan dalam menjalankan tugasan memajukan kedudukan kaum wanita di negara tercinta kita ini, negara Malaysia.”
Titah ini disampaikan dalam Webinar Wanita Berjuang Menghapus Covid-19 Bersempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan Ke-59 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).