NGO Tolak Doktrin Struktur Asas, Tegas Junjung Perundangan Patuh Syariah
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
Berikutan dengan isu yang sedang hangat dibahaskan tentang doktrin struktur asas Perlembagaan yang diceduk daripada luar berkerangka Westminster dan dikotomi.
KOR AKWAM 181 sebagai badan gabungan pejuang watan Malaysia ingin membuat penegasan bahawa Persekutuan Tanah Melayu diinstitusikan mengikut kedaulatan Raja-Raja Melayu daripada sembilan buah Negeri Melayu yang merdeka, dan pada tanggal 31 Ogos 1957 British telah menyerahkan kedaulatannya ke atas Negeri Selat Pulau Pinang dan Melaka kepada pemerintahan Majlis Raja-Raja yang mewakilkan Yang di-Pertuan Agong yang dibantu oleh tiga cabang kuasa berbentuk syura di bawah Baginda iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman.
Bertunjangkan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mengikut adat Melayu seperti terkandung dalam dokumen perundangan sejak sebelum Hari Persekutuan Tanah Melayu 1957 sehinggalah pasca penubuhan Malaysia berposisi sebagai ketua agama Islam dan pemegang amanah kedaulatan Allah S.W.T., maka KOR AKWAM 181 selanjutnya menegaskan bahawa kedudukan Islam sebagai “law of the land” adalah kekal sehingga ke hari ini dan undang-undang Persekutuan yang diluluskan oleh Parlimen serta Undang-Undang Negeri yang digubal oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing membentuk satu sistem perundangan negara Malaysia yang menjunjung patuh syariah (syariah compliance) sebagai prinsip kedaulatan Malaysia.
Justeru, KOR AKWAM 181 ingin menyeru agar semua pihak menghormati kedudukan watan tersebut dan mengembalikan usaha pengharmonian undang-undang Persekutuan dan Negeri dengan prinsip patuh syariah sebagai agenda utama negara termasuklah penguatkuasaannya.
Maka dengan itu juga, undang-undang yang digubal oleh Parlimen hendaklah tidak boleh bercanggah dengan prinsip perundangan Islam yang sesungguhnya bersifat “Rahmatan lil’alamin”, begitu juga keputusan eksekutif dan kehakiman yang mestilah menjunjung prinsip ketinggian (supremacy) Perlembagaan Persekutuan.
KOR AKWAM 181 seterusnya menegaskan bahawa pengertian Islam secara fahaman sekular adalah bercanggah dengan ajaran Islam itu sendiri dan kedudukan Islam dalam kerangka undang-undang negara hendaklah mengikut pentafsiran peruntukan Perlembagaan melalui kaedah yang betul seperti diputuskan sendiri oleh Mahkamah Persekutuan; berpaksikan peruntukan Perlembagaan itu sendiri yang ditafsirkan secara luas dan purposif serta diletakkan dalam kerangka falsafah, linguistik dan konteks sejarah tempatan yang betul iaitu keadaan tempatan seperti digariskan oleh Seksyen 3 Akta Undang-undang Sivil 1956 (semakan 1972) dan menjunjung Perkara 181(1), 3, dan Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.
Selanjutnya KOR AKWAM 181 menyokong penuh RESOLUSI ICOBAC 2021 bertarikh 16 Disember, 2021.
Sekian, terima kasih.
MOHD ZAINUDDIN OMAR
Ketua Sekretariat
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my