Tempatan

ATM Nafi Hantar Pasukan Ke Palestin

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2023 – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan pembabitan anggota tentera ke Palestin seperti yang ditularkan di media sosial, pada Ahad.

Markas ATM dalam kenyataan media berkata, video tular yang berdurasi 1 minit 36 saat yang telah disiarkan di platform Tik Tok adalah video lama mengenai sekumpulan anggota ATM yang ditugaskan ke Lubnan pada 2022.

“ATM telah meneliti kandungan video tersebut dan mendapati ia merupakan sebuah video lama mengenai misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) bagi Kumpulan Malaysian Battalion 850- 10 (MALBATT 850-10) ke Lubnan pada tahun 2022.”

“Justeru, ATM menafikan kandungan video tular tersebut dan mengesahkan bahawa ia adalah tidak benar sama sekali,” tegasnya.

Dalam pada itu, Markas ATM meminta masyarakat agar tidak membuat sebarang andaian atau menularkan sebarang perkara yang tidak pasti atau berita palsu kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

“Adalah ditegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” menurut kenyataan itu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: