Tempatan

YDPA Titah Segerakan Projek Tebatan Banjir, Jangan Dipolitikkan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PEKAN, 12 Januari 2023 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar pembinaan projek tebatan banjir yang telah dirancang di negeri Pahang diselesaikan dengan segera.

Seri Paduka Baginda turut menitahkan kerajaan agar projek itu tidak dipolitikkan sebaliknya ia perlu dipandang serius dan diselesaikan secepat mungkin.

“Saya harap jangka panjang kerajaan harus mempercepatkan projek-projek, program-program tebatan banjir yang mana telah pun dirangka oleh pihak berwajib di seluruh negeri Pahang.”

“Jangan politikkan perkara ini dan seelok-eloknya secara serius dan segera bina tebatan-tebatan banjir di seluruh negeri Pahang,” titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian ketika berangkat melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Semai Bakti Felda Chini 1, pada Khamis.

Turut berangkat paduka-paduka anakanda KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan YAM Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut bertitah mengingatkan mangsa banjir agar sentiasa menjaga kebersihan ketika berada di PPS bagi mengelakkan sebarang jangkitan penyakit.

“Semasa berada di PPS kena jaga kebersihan. Jangan pula masa banjir kita bersusah di PPS, selepas banjir habis, kita dapat macam-macam penyakit pula.

“Wabak COVID-19 pun masih lagi berada di negara kita. Kita tidak mahu penyakit lain pula. Sebab itu saya ingatkan supaya jaga kebersihan di PPS khususnya keadaan bilik air,” titah Baginda.

Al-Sultan Abdullah dalam lawatan berkenaan turut menzahirkan rasa simpati kepada semua mangsa banjir dan berkenan menyampaikan kurnia sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Seri Paduka Baginda juga juga menzahirkan rasa simpati kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adhwa Haslan, 31 yang ditemui lemas selepas terjatuh parit ketika meredah jalan dinaiki air di Sungai Bebar Utara di sini, baru-baru ini.

“Saya ucap takziah kepada keluarga berkenaan dan simpati dengan mereka. Kerajaan Persekutuan akan menghulurkan sumbangan sebanyak RM10,000. Kerajaan negeri pula menyumbang RM5,000 dan saya sendiri pun akan beri hulur kurniaan kepada keluarga mangsa,” titahnya.

Sempena lawatan itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenaan menyantuni dan menyampaikan kurniaan kepada penghuni di tiga lagi PPS di sini iaitu PPS Dewan Semai Bakti Felda Chini 3, PPS Dewan Semai Bakti Felda Chini Timur 3 dan PPS Sekolah Kebangsaan Merchong Jaya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: