Muzium Bukan Sahaja Pusat Tarikan Tetapi Juga Institusi Ilmu – Raja Permaisuri Agong
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUANTAN, 19 November 2021 – KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli menghadiri Persidangan Diraja Dan Pemeteraian Kerjasama Muzium Pahang di Hotel Hyatt di sini semalam.
Antara titah-titah baginda adalah, penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah (AL-ASAR) amat penting dalam melengkapkan peranan muzium terutama untuk mengkaji dan meneroka warisan kebudayaan serta sejarah tempatan.
“Pusat kajian ini amatlah penting seperti yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Majlis Jamuan Teh Sempena Taklimat Cadangan Menandatangani Perjanjian (MOA) Penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah pada 22 Mac 2021 yang lalu.”
Tambah baginda lagi, muzium sebagai sebuah institusi di bawah naungan Istana, bukanlah hanya sebagai pusat tarikan pelancong dan pemuliharaan barangan artifak semata-mata tetapi juga menjadi institusi ilmu yang menyimpan serta menyambung warisan kebudayaan dan sejarah tempatan.
Dalam pada itu, pusat kajian ini bukan sahaja sebagai pusat pendidikan dan rujukan tetapi juga membolehkan segala bahan sejarah dan budaya Negeri Pahang dikaji selidik, diterokai serta difahami dengan lebih mendalam lagi, titah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
“Oleh itu, pusat kajian ini semestinya akan memperkenalkan aspek tersebut seperti seni tenunan tekstil, kemahiran memasak, dan sebagainya. Aspek ini yang menjadikan pusat kajian lebih unik dan berketrampilan kerana menonjolkan aspek ilmu, kebudayaan dan kesenian,” titah baginda.
Turut hadir dalam majlis semalam adalah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan Pengurus Besar, Perbadanan Muzium Negeri Pahang, YH Dato’ Ahmad Farid Abd Jalal.