Tempatan

Raja Permaisuri Agong Kurnia Anugerah Merit Ibn Khaldun Kepada Petugas Barisan Hadapan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa join Telegram, Instagram dan Facebook kami bagi mendapatkan berita terkini

KUALA LUMPUR, 18 Mac 2021 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Anugerah Merit Ibn Khaldun bagi Transformasi Sosial Peringkat Global 2020 di ISTAC Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam majlis tersebut, baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerja keras dan sumbangan cemerlang yang ditunjukkan petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik COVID-19 serta menjadikan negara ini selamat.

“Pada majlis yang tidak dapat dilupakan ini, beta ingin menzahirkan rasa terhutang budi dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas sumbangan serta pengorbanan yang dilakukan oleh semua petugas barisan hadapan yang terus melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa mengira kesulitan dan risiko terhadap kesihatan mereka.”

“Terima kasih kerana begitu berdedikasi, berani dan tidak mementingkan diri sendiri untuk mengatasi cabaran yang sedang kita hadapi. Pada kesempatan ini, beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang telah secara sukarela membantu petugas barisan hadapan kita.”

Majlis menyaksikan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang juga Ketua Perlembagaan UIAM berkenan mengurniakan anugerah tersebut kepada YBhg. Tan Sri Dr. Noor Hisham bin Abdullah sebagai mewakili petugas barisan hadapan (kesihatan dan keselamatan).

Penganugerahan ini bagi menghargai jasa dan usaha para petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus mengekang dan memutuskan rantaian pandemik COVID-19 yang melanda.

Tambah Tunku Azizah, “Beta amat berbesar hati untuk memberikan anugerah ini kepada petugas barisan hadapan sebagai simbol penghargaan, rasa terhutang budi serta pengiktirafan atas jasa dan usaha yang anda semua lakukan semasa wabak ini merebak dengan begitu pantas di negara kita dan seluruh dunia.”

“Anugerah ini diharap dapat menaikkan semangat anda untuk terus bekerja keras dalam memerangi COVID-19 yang masih berterusan. Insya-Allah,” titah baginda lagi.

Anugerah Merit Ibn Khaldun UIAM yang diperkenalkan sejak 2018 adalah anugerah untuk mengiktiraf organisasi yang menerajui serta menyumbang dari segi kepakaran atau kerja-kerja kebajikan untuk masyarakat.

Turut hadir pada majlis ini Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Presiden UIAM, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar dan Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: