Raja Permaisuri Agong Seru Rakyat Waspada Terhadap Wabak Cacar Monyet
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
GOMBAK, 31 Mei 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyeru orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap penularan penyakit berjangkit yang terbaharu iaitu wabak cacar monyet yang kini sedang merebak di beberapa negara.
Di samping itu, Baginda turut berkenan menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dengan situasi semasa dan sentiasa memastikan terutamanya anak-anak agar mengamalkan kebersihan diri.
Raja Permaisuri Agong menzahirkan keprihatinan Baginda itu ketika menyempurnakan majlis perasmian Klinik Sejahtera UIAM di Bangunan Kuliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, semalam.
Klinik Sejahtera UIAM yang dirasmikan Baginda tersebut mempunyai sebanyak enam bilik konsultasi dan rawatan yang luas untuk merawat pesakit serta mempunyai kelengkapan Makmal Klinik, Farmasi, Radiologi, bilik rawatan dan klinik gigi.
Seri Paduka Baginda yang sekaligus berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Sambutan Syawal Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Dewan Utama, Pusat Aktiviti UIAM, Gombak itu disambut oleh Presiden UIAM Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dan Rektor UlAM Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.
Majlis Sambutan Syawal Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda sendiri sebagai selaku Ketua Perlembagaan UIAM dihadiri kira-kira 3,000 warga UIAM.