Tradisi Mantai Kembali Meriah
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
TAMPIN, 04 April 2022 – Setelah dua tahun bergelut dengan pandemik COVID-19, penduduk Negeri Sembilan kembali memeriahkan tradisi mantai dengan menyambutnya seiring kedatangan Ramadan.
Menurut Utusan, Isman Triman, 46, yang merupakan seorang peniaga daging mengatakan bahawa suasana mantai tahun ini lebih meriah kerana sebelum ini, terdapat kekangan tertentu untuk peniaga-peniaga daging menjual secara terbuka.
Isman memaklumkan bahawa para peniaga hanya dibenarkan terima tempahan secara bayar lepas terima (COD) sahaja semasa dilanda pandemik.
Namun tahun ini, setelah peralihan negara ke fasa endemik, beliau telah menyediakan lapan ekor bekalan daging kerana maklum akan permintaan tinggi daging lembu pada bulan Ramadan.
Tambah beliau, kebiasaannya warga Segamat, Johor turut menumpang kemeriahan mantai dengan membeli daging di Negeri Sembilan.
Seorang pembeli, Baharudin Md Din, 70, berkata tradisi mantai sudah sebati dengan dirinya yang menetap di daerah tersebut, walaupun berasal dari Melaka.
“Di negeri lain susah nak dapat suasana meriah macam ni. Di Negeri Sembilan dapat terus kekal diwarisi generasi akan datang, lebih-lebih lagi ia merupakan keunikan masyarakat di negeri ini,” katanya lagi.
Mantai merupakan tradisi masyarakat Negeri Sembilan yang disambut menjelang Ramadan dan Aidilfitri termasuk melapah daging lembu dan kerbau serta membakar lemang secara bergotong-royong bersama ahli keluarga.