Firdaus Wong Buat Lapor Balas Terhadap Loh
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 04 April 2022 – Ustaz Firdaus Wong Wai Hung, seorang pendakwah terkemuka telah membuat laporan polis terhadap Loh Siew Hong kerana didakwa membuat laporan palsu terhadapnya sebelum ini.
Perkara itu dikhabarkan sendiri oleh Firdaus Wong di akaun Facebook miliknya baru-baru ini.
Laporan polis tersebut dibuat di Balai Polis Wangsa Maju oleh pembantunya kerana beliau masih menjalani kuarantin kerana disahkan positif COVID-19.
Dalam laporan itu, beliau menafikan bahawa pihaknya telah memuat naik gambar dan video Loh serta anak-anaknya untuk tujuan mengaibkan dan memberi tekanan supaya Loh tidak meneruskan semakan kehakiman.
“Dalam kesemua video yang dimuatnaik dalam YouTube, semua gambar anak-anak Loh ditutup sekaligus mematuhi perintah mahkamah.”
“Tidak ada di dalam mana-mana video kami yang mengaibkannya dan memberi tekanan supaya dia tidak meneruskan semakan kehakiman. Ini adalah satu dakwaan palsu,” jelas pembantunya dalam laporan itu.
Dalam laporan itu juga, beliau menafikan dakwaan memfitnah Loh dengan mengatakan Loh mempunyai lelaki lain.
“Tiada dalam video yang kami hasilkan mengatakan beliau menyimpan lelaki lain. Apa yang kami sebut dalam video ialah memetik kata-kata daripada anaknya sendiri dari rakaman video bertarikh 24 Feb 2020.”
“Tidak ada sesekali kami mengungkapkan perkataan Loh menyimpan lelaki lain dan ini merupakan satu dakwaan palsu daripadanya.”
“Apa yang kami sebut dalam video adalah memetik dari kata-kata anaknya sendiri serta kenyataan dari Nagahswaran kepada adik-beradiknya yang disebut oleh mereka dalam video kamu juga,” tegasnya.
Oleh itu, pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM) tersebut berharap agar pihak polis menyiasat Loh di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu.