Tempatan

Tanggungjawab SUHAKAM Jawab Kenapa LGBTQ Tidak Termasuk Hak Asasi Manusia Di Malaysia – Haniff Khatri

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 24 Jun 2023 – “Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) 1999 ataupun Akta 597 perlu dilihat apa fungsinya di bawah Seksyen 4 Akta 597 yang mengatakan antara lain bagi membantu, melindungi dan memajukan hak asasi manusia di Malaysia,” ujar Peguam Senior, Haniff Khatri Abdulla.

Maksudnya, fungsi dan kuasa suruhanjaya yang diberi itu adalah secara khusus untuk membantu melindungi dan memajukan hak asasi manusia di Malaysia.

Jadi, apakah itu hak asasi manusia di Malaysia itu, untuk mengetahui maksudnya takrifan frasa hak asasi manusia juga terdapat dalam Akta 597 ini.

Kemudian apabila kita lihat Seksyen 2, seksyen tafsiran, maka frasa hak asasi manusia dikatakan merujuk kepada kebebasan asasi sebagaimana yang termaktub dalam Bahagian Kedua, Perlembagaan Persekutuan.

Jadi, untuk mengetahui apakah skop ataupun perluasan jurat kuasa SUHAKAM tentang hak asasi manusia bolehlah dirujuk di Bahagian Kedua, Perlembagaan Persekutuan.

Bahagian 2 daripada Perlembagaan Persekutuan adalah Perkara 5 hingga Perkara 13 dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu pertama Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 6 (keabdian dan kerja paksa dilarang), Perkara 7 (perlindungan daripada undang-undang jenayah yang kuat kuasa ke belakang dan perbicaraan berulang), Perkara 8 (kesamarataan), Perkara ke 9 (larangan buang negeri dan kebebasan bergerak), Perkara ke 10 (kebebasan bercakap berhimpun dan berpersatuan), Perkara ke 11 (kebebasan beragama), Perkara ke 12 (hak berkenaan dengan Pendidikan ) dan Perkara ke 13 (hak terhadap harta).

Menurut Haniff, sudah tentu kalau kita buka semula Perkara 5 hingga Perkara 13 ini ada huraian-huraian lanjut di dalam Perlembagaan. Maka, itulah skop SUHAKAM berkaitan dengan hak asasi manusia seperti di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Maksudnya, walaupun kebebasan diri berkaitan dengan isu hak untuk bekerja dalam mencari pendapatan. Malah, berkaitan dengan hak diskriminasi sekalipun kesamarataan semuanya adalah tertakluk seperti di dalam Perlembagaan.

Iaitu, apa yang Perlembagaan benarkan dibuat dan apa yang Perlembagaan larang dibuat. Begitu juga dengan hak kebebasan bersuara, berpersatuan, kebebasan agama tentang pemilikan harta dan sebagainya dan inilah kerangkanya.

Yang ketiga, dalam erti kata lain bagi saya, kuasa SUHAKAM untuk melihat, memantau, menyiasat dan memberi cadangan tentang hak asasi manusia mestilah berpandukan kepada kerangka Perlembagaan Malaysia.

Sebabnya, dinyatakan dengan jelas di dalam Seksyen 4 bahawa kuasa SUHAKAM adalah berkaitan hak asasi manusia dan hak asasi manusia di bawah Seksyen 2 ditakrifkan adalah dirujuk kepada Bahagian Kedua Perlembagaan Persekutuan yang telah dibincangkan sebelum ini.

Jadi pokoknya di sini, apa yang dimaksudkan dalam bahasa mudahnya sebagai contoh walaupun isu-isu antarabangsa yang paling kontroversi yang selalu disebut-sebut LGBTQ ini kalau kita ambil itu sebagai satu isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia di tahap antarabangsa sekalipun, ianya bukan selari dengan Perlembagaan kita.

Maka adakah itu bermaksud SUHAKAM di Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk mempertengahkan atau melindungi hak LGBTQ ini yang jelas melanggar peruntukan Perlembagaan Malaysia?

Maka, jawapan dari pihak saya sebagai pengamal undang-undang adalah, tidak.

Maksudnya, walaupun di negara luar ada juga pengiktirafan diberi kepada perkahwinan satu jenis contohnya, adakah itu bermakna SUHAKAM bertanggungjawab untuk mengutarakan perkahwinan satu jenis itu di sini, tidak.

“Walhal, bagi saya SUHAKAM lebih bertanggungjawab untuk memberi maklum kepada masyarakat kenapa LGBTQ itu tidak termasuk di dalam hak asasi manusia di Malaysia,” katanya mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: