Tempatan

Malaysia Tidak Sepatutnya Mengambil Keputusan Berkecuali – Haniff Khatri

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 17 Oktober 2022 – “Daripada apa yang dilaporkan, memandangkan usul itu dibawa pada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) maka Malaysia tidak sepatutnya mengambil keputusan untuk berkecuali,” ujar Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Menurutnya, daripada keputusan itu maka terdapat banyak tanggapan dan persoalan ditampilkan sebab sebelum ini, ianya adalah satu “open secret” iaitu rahsia yang terbuka bahawa Malaysia seringkali membantu apa-apa penindasan dan kezaliman secara khususnya ke atas mana-mana orang Muslim, setakat mana yang mampu, begitu juga perihal masyarakat Uyghur.

Jelasnya, apabila ada laporan mengatakan Malaysia berkecuali dalam isu Uyghur, beliau sendiri merasa amat terkejut sebab mana-mana usul yang membincangkan penindasan semestinya dalam proses itu akan ada penampilan fakta iaitu apakah dia bentuk penindasan yang berlaku di wilayah Xinjiang, China terhadap masyarakat Uyghur di kawasan Turkistan Timur tersebut.

Selain itu, sudah tentu akan ada juga perbincangan apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pihak antarabangsa berkaitan dengan penindasan-penindasan tersebut termasuklah keselamatan orang-orang yang ditindas.

Jadi kenapakah Malaysia berkecuali, itulah yang menjadi persoalan penting, dan perkara ini memang menimbulkan persepsi negatif terhadap Malaysia.

Justeru, perkara ini amat penting untuk Kerajaan Malaysia memberi satu kenyataan lengkap kenapa mereka berkecuali dan tidak mengundi untuk membahaskan isu genosid yang berlaku di Turkistan Timur tersebut.

Beliau berkata, mungkin ada perkara yang kita tidak tahu di sebalik usul yang cuba ditampilkan oleh negara-negara tersebut.

“Tetapi maklumkanlah kepada rakyat kalau anda jujur dan ikhlas sebab kita nak tahu adakah sekarang Malaysia mempunyai polisi antarabangsa yang lari daripada paksi sejak kita merdeka terutamanya zaman Perdana Menteri keempat dan kemudian menjadi Perdana Menteri yang ketujuh yang mana kita seringkali bangun untuk melontarkan pendapat-pendapat tentang kezaliman terhadap orang Islam seperti di Palestin, Bosnia Herzegovina mahupun di Uyghur.”

“Bagi saya ia menjadi tanggungjawab untuk Ismail Sabri walaupun sekarang beliau cuma merupakan caretaker Prime Minister untuk memberi satu kenyataan apakah sebenarnya yang berlaku di persidangan pada masa itu.”

Kenapakah, bekas Menteri Luar Antarabangsa Saifuddin Abdullah mengambil peranan mengarahkan wakil Malaysia untuk berkecuali ketika usul debat Uyghur di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika itu?

Haniff berkata, sebagai rakyat kita perlu jawapan itu terlebih dahulu. Kalau tidak, akan ada banyak anggapan dan banyak persepsi yang bercampur aduk antara fakta dengan “auta”, dan itu tidak akan menyihatkan lagi keadaan.

Beliau turut terkejut kerana rupanya banyak lagi negara Islam lain yang berkecuali dan tidak kurang juga yang membantah.

Jadi perkara inilah yang kita hendak tahu mengapa? Adakah apa-apa perkara di sebalik usul tersebut yang mungkin belum didedahkan, maka wajar kerajaan Malaysia mendedahkan supaya rakyat faham.
“Kita tidak pasti apakah sebab mereka membantah, itu sebab saya nyatakan daripada kita meneka-neka di sini sebaiknya Kerajaan Malaysia memberi penjelasan terlebih dahulu.”

Adakah apa-apa di dalam usul tersebut yang berciri “udang di sebalik batu” pihak yang mencadangkan usul itu. Kalau tidak adakah Malaysia dan negara-negara lain sebenarnya menghambakan diri mereka kepada hubungan diplomatik dan ekonomi dengan negara China. Jadi dua perkara ini yang menjadi persoalan kita sekarang ini.

Bagaimanapun, apa yang kita patut lebih khuatirkan ialah adakah Malaysia sudah mengubah paksi untuk senyapkan diri berkaitan isu kezaliman terutamanya terhadap umat Islam di Wilayah China, semata-mata kita khuatir dengan kesan kepada ekonomi dan hubungan diplomatik dengan negara China?

Tambah beliau, kalau itu sebabnya maka kita harus malu yang amat sangat sebab ini medan antarabangsa, dan di medan antarabangsa kita wajib bangkit dengan apa yang kita perlu bangkitkan untuk diperbincangkan oleh negara-negara berdaulat secara matang.

Jelasnya, tak bermaksud kalau kita bangkitkan perkara itu maka kita mencampuri urusan dalaman negara China kerana itu adalah urusan negara-negara berdaulat sebagai ahli bangsa-bangsa bersatu.

Justeru, Kerajaan perlu memberi penjelasan terlebih dahulu sebelum mana-mana pihak ketiga yang ingin boleh memberikan kenyataan adakah sebab yang diberikan itu wajar atau tidak.

Ujarnya, selagi kita tidak tahu sebabnya maka persepsi akan muncul bahawa kita akan khuatir dengan hubungan diplomatik, hubungan ekonomi dan kononnya pelaburan-pelaburan yang dibawa oleh China ke negara kita.

Apa pun alasannya, kita tidak perlu gadaikan maruah Islam, apakah jenis orang Islam yang sebegini, tidak yakinkah dengan Allah SWT dan sehingga kini sudah lebih dari seminggu masih tidak ada lagi kenyataan daripada pihak Kerajaan,” katanya mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: