Cubaan Pihak Liberal Menguasai Semula SUHAKAM Perlu Dihalang – Presiden PERKASA
KUALA LUMPUR, 26 Jun 2023 – “Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dimaklumkan terdapat cubaan pihak-pihak liberal untuk menguasai semula SUHAKAM selain dilihat terdapat juga usaha mahu mengembalikan agenda menyamaratakan hak semua kaum dan agama yang menyimpang dari Akta SUHAKAM dan Perlembagaan Negara.”
“Bahkan, PERKASA juga difahamkan sekarang ini ada cubaan pihak tertentu yang turut mahu menukarkan kepimpinan SUHAKAM sedia ada oleh Kerajaan PH atas desakan puak-puak liberal. Difahamkan, mereka mahukan Pengerusi yang lebih liberal,” ujar Presiden PERKASA, Syed Hassan Syed Ali.
Jelasnya, atas sebab itu PERKASA agak bimbang jika mereka akan berjaya merampas penguasaan kepimpinan SUHAKAM sedia ada apatah lagi dengan menggunakan pengaruh mereka yang ada hubungan rapat dengan pimpinan Kerajaan Madani yang majoritinya berfikiran liberal.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, PERKASA tetap akan menentang sekeras-kerasnya jika ada usaha Kerajaan Madani melayani kehendak pro-liberal ini untuk mengambil alih kepimpinan SUHAKAM sedia ada.
Syed Hassan menjelaskan, sebenarnya sesiapa sahaja yang dilantik menjadi pimpinan SUHAKAM, maka, mereka perlu mematuhi Akta SUHAKAM yang telah diluluskan oleh Parlimen.
Jadi, tindakan-tindakan yang diambil dan dijalankan oleh SUHAKAM perlulah tidak lari dari Akta SUHAKAM.
Tambah beliau lagi, Penubuhan SUHAKAM adalah demi memantau tindak tanduk jabatan-jabatan Kerajaan atau agensi-agensi Kerajaan yang tidak mengikut peraturan dalam negara dan bukan mengikut kehendak dasar negara-negara luar yang lain.
Justeru, PERKASA secara jujurnya mengatakan sangat selesa dan yakin dengan kepimpinan SUHAKAM yang sekarang ini yang dilantik semasa Kerajaan bawah PN.
“Berbanding dengan pimpinan SUHAKAM semasa di bawah Kerajaan PH 2018 hingga 2020 yang sangat merisaukan PERKASA kerana tindak tanduk pimpinan SUHAKAM lebih kepada menjadi suara dan agenda Barat,” katanya.