Antarabangsa

Putera Mahkota Saudi Tidak Hadir Persidangan G7

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

JUMAAT, 14 Jun 2024 – Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman telah menolak jemputan bagi persidangan G7 yang bakal berlangsung di Itali berikutan ibadah Haji yang bakal berlangsung bermula pada hari ini.

Perkara tersebut telah dilaporkan oleh agensi media negara Timur Tengah tersebut, Saudi Press Agency.

Putera Mohammed merupakan salah seorang pemimpin Timur Tengah yang telah dijemput untuk ke persidangan tersebut berikutan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni kini sedang dalam usaha memperkasakan hubungan negaranya dengan negara-negara Teluk.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan Saudi pada Rabu lalu telah menjelaskan bahawa Putera Mahkota tersebut telah menghantar permohonan maaf kepada Meloni serta menolak pelawaan untuk menghadiri mesyuarat tersebut di Puglia berikutan “komitmen berkaitan dengan pengawasan Haji”.

Dalam kenyataan yang sama, Putera Mohammed turut menyentuh tentang kekuatan hubungan di antara Arab Saudi dan Itali.

Putera Mahkota itu belum pernah menghadiri sebarang mesyuarat G7 sebelum ini. Minggu lalu, Reuters telah melaporkan bahawa beliau akan menghadiri perjumpaan tersebut buat kali pertama.

Antara pemimpin Timur Tengah dan Afrika Utara yang dijangkakan bakal bersama dalam mesyuarat tersebut adlaah Presiden Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohamed bin Zayed, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, Raja Jordan Raja Abdullah II serta Presiden Algeria, Abdelmajdid Tebboune.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: