Kos Bahan Binaan Dijangka Naik 30 Peratus
PETALING JAYA, 14 Jun 2024 – Kos bahan binaan dalam sektor perumahan dijangka akan mengalami kenaikan sehingga 30 peratus selewat-lewatnya minggu depan, menurut Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia (PPLTM).
Presiden PPLTM, Datuk Michael Loo berkata, pelaksanaan penyelarasan semula subsidi diesel menyebablkan bahan api itu meningkat sehingga 55 peratus atau sebanyak RM1.20 seliter.
“Kalau kerajaan tak ambil kira industri kami, saya jangka industry ini dengan secara tidak sengaja akan menaikkan kos sehingga 30 peratus dan kami hanya bertahan untuk minggu ini sahaja (kos lama).
“Sekarang pengusaha parkir lori sahaja, tak dapat keluar tapi bayaran ansuran pinjaman bank tetap kena buat, pengusaha terbeban,” kata beliau dalam satu sidang media, semalam.
Jelas Loo, secara tidak langsung kos pembinaan rumah akan menghadapi kenaikan secara mendadak berikutan segala bahan binaan seperti batu, pasir, tanah, simen dan konkrit menggunakan perkhidmatan lori tipper.
“Kos minyak diesel tidak bersubsidi akhirnya akan ditampung oleh pemaju perumahan dan mereka tiada pilihan hingga terpaksa mengalihkan lebihan kos ini kepada bakal pembeli rumah dengan harga jualan rumah lebih tinggi.
“Tempiasnya akhirnya akan ditanggung oleh rakyat jelata apabila terpaksa membayar harga rumah mampu milik dari RM250,000 ketika ini kepada RM350,000 pada masa akan datang,” tambahnya lagi.
Pada Isnin lalu, kerajaan telah menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter selaras dengan pelaksanaan semula subsidi bahan api tersebut.