Tempatan

Beras 5KG Dilelong Serendah RM10 Di #MAHA2022

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 03 Ogos 2022 – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 akan menyediakan lelongan beras 5KG dengan harga serendah RM10 kepada semua pengunjung yang hadir bermula esok; Khamis, 04 Ogos sehingga 14 Ogos 2022.

Lelongan beras itu boleh didapati di Laman Agro-Food Padi semasa berlangsung ‘happy hour’ yang mana, waktu tersebut hanya akan diumumkan pada bila-bila masa sahaja sepanjang pameran berlangsung. Namun, sebaik selepas tamatnya tempoh berkenaan, beras tersebut akan dijual pada harga RM11 sekilogram.

Kenyataan itu dimaklumkan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Industri Padi, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Azman Mahmood.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya juga ingin mendidik murid-murid sekolah rendah dari seluruh Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan mengenai proses menanam hingga menuai padi di Laman Agro-Food Padi.

“Satu hari ada tiga sekolah kami jemput (ke laman), kami nak bagi pendidikan secara langsung kepada generasi baharu tentang kesinambungan keselamatan makanan kerana beras merupakan makanan asas yang semua orang perlu tahu.”

“Ada sesetengah pelajar, tak pernah tengok fizikal padi, dia tahu makan sahaja. Kami sasar untuk didik pelajar ini sebab mereka akan menjadi pemimpin pada masa akan datang dan pertanian ini menyediakan peluang pekerjaan yang besar,” ujar Azman kepada sebuah media tempatan.

Tambah beliau, pihaknya juga akan melancarkan Internet of Things (IoT) baharu yang boleh mengenal pasti jenis tanah serta cuaca yang sesuai untuk penanaman benih padi pada 7 Ogos ini.

“Kami cuba bawa generasi baharu untuk terlibat dengan benda-benda ini (industri padi) sebab beras orang makan hari-hari. Kalau berlaku perang atau krisis ekonomi sekalipun, ia masih berjalan. Kalau sebut sektor padi bukan hanya terlibat dengan penanaman padi, banyak lagi yang boleh buat, dengan dron, pengeluaran produk, baja dan jentera,” jelas beliau dengan lebih mendalam mengenai hal ini.

Laman Agro-Food Padi merupakan salah satu daripada lapan laman pertanian iaitu Laman Perikanan, Laman Ternakan, Laman Herba dan Sayur, Laman Buah-Buahan, Laman Nanas, Laman Jentera dan Laman Florikultur yang akan mewarnai MAHA 2022 bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: