Tempatan

Ludah Anggota DBKL, Dua Warga Asing Ditahan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR 12 April 2022 – Polis menahan dua Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) setelah mereka melakukan provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat serta meludah muka salah seorang anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jumaat lalu.

“Keadaan menjadi kecoh apabila kedua-dua warga asing tersebut enggan bekerjasama dan melakukan provokasi agresif dengan menepis tangan pihak berkuasa yang sedang merakam gambar sehingga menyebabkan telefon bimbit jatuh serta rosak,” ujar Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Bukan itu sahaja, suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat dan meludah ke arah muka salah seorang penguat kuasa DBKL.

Malah, suspek wanita juga bertindak mengoyakkan bajunya dan menuduh anggota penguat kuasa yang melakukan perbuatan itu bagi mengelakkan dirinya ditangkap.

Menurut Beh Eng Lai, warga asing tersebut bertindak menggunakan kekerasan apabila anggota penguat kuasa cuba untuk menyita barang-barang perniagaan mereka.

Baru-baru ini, sebuah rakaman audio visual tular di media sosial yang menunjukkan kekecohan kejadian berkenaan.

Ia berlaku sewaktu sepasukan anggota penguat kuasa sedang melakukan rondaan di sekitar kawasan itu sebelum terlihat seorang lelaki dan seorang wanita warga asing sedang menjalankan perniagaan di hadapan kaki lima berhampiran sebuah bank di Pusat Bandar Utara di sini.

Mengulas lanjut, Beh Eng Lai berkata, suspek yang berusia 34 dan 38 tahun itu ditahan di lokasi kejadian dan kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau hasil daripada semakan.

“Kedua-dua suspek direman bermula 9 sehingga 22 April bagi siasatan lanjut.”

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana telah menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button