Tempatan

Sekatan Hak Kebebasan Berpersatuan Atau Pelucutan Keanggotaan Parlimen Kerana Menyalahi Mandat Rakyat?

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Ikuti Wawancara wartawan portal samudera.my (WS) bersama Profesor Madya Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berhubung isu penggubalan undang-undang anti lompat parti yang sedang hangat dibicarakan sekarang.

WS: Apa pandangan Datuk mengenai isu sebenar bagi penggubalan undang-undang dan pindaan Perlembagaan anti lompat parti?

Datuk Dr Wan: Saya lihat isu sebenar bagi penggubalan undang-undang termasuklah hasrat pindaan Perlembagaan yang berhubung dengan peruntukan anti lompat parti bukanlah tegahan mutlak hak individu khususnya Ahli Parlimen untuk menyertai mana-mana parti, tetapi pelucutan keanggotaannya jika meninggalkan parti atau dilucutkan keAhlian partinya. Terdapat Ahli Parlimen yang keluar parti dan menjadi wakil bebas.

WS: Jadi apakah objektif inisiatif yang dinamakan sebagai undang-undang anti lompat parti sebenarnya?

Datuk Dr Wan: Kita boleh rumuskan objektif utama adalah untuk menghukum Ahli Parlimen yang tidak menghormati mandat rakyat dalam pilihan raya yang diberikan kepada parti yang menamakan seorang Ahli Parlimen itu sebagai calonnya.

WS: Bagaimana pula kesan undang-undang bagi mereka yang bukan Ahli parlimen?

Datuk Dr Wan: Bagi bukan Ahli Parlimen yang meninggalkan partinya, mereka bebas berbuat demikian. Justeru saya cadangkan pindaan Perlembagaan bagi pelucutan keanggotaan Ahli Parlimen yang meninggalkan parti melalui peruntukan Perkara 48. Bagi yang dilucutkan keahlian partinya, pelucutan keanggotaan sebagai seorang Ahli Parlimen perlulah secara bersyarat, iaitu bukanlah kerana berlaku pertelingkahan antara kepimpinan parti dengan Ahli Parlimen yang menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

WS: Jadi apakah ada keperluan untuk dipinda Perkara 10 seperti yang diwar-warkan?

Datuk Dr Wan: Sebenarnya tiada keperluan untuk dipinda Perkara 10. Ini kerana Perkara 10 menyentuh hak untuk membentuk persatuan. Pelucutan keanggotaan Ahli Parlimen jika digubal kerana dia melompat parti tidak termasuk dalam takrif kebebasan untuk membentuk persatuan. Selagi seorang Ahli Parlimen tidak meninggalkan partinya meskipun dia menubuhkan persatuan, atau menyertai persatuan lain kedudukan keanggotaannya dalam Parlimen masih kekal. Saya percaya Ahli Parlimen ada yang menyertai banyak NGO.

WS: Boleh Datuk jelaskan keputusan kes Salleh Nordin terhadap sekatan untuk menggubal undang-undang anti lompat parti?

Datuk Dr Wan: Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nordin Salleh memberikan tafsiran terlalu luas tentang pemakaian dan maksud ayat dalam Perkara 10(1)(c), iaitu hak warganegara untuk membentuk persatuan. Maksud membentuk persatuan ditafsirkan termasuklah hak untuk menyertai dan meninggalkan persatuan sehingga menjangkau jauh menyentuh kuasa DUN untuk menggubal peruntukan bagi pelucutan keanggotaan Ahlinya.

Namun begitu, mahkamah menyatakan undang-undang Persekutuan boleh mengadakan sekatan kebebasan hak berpersatuan. Ini bermaksud itu boleh dilakukan tanpa pindaan Perlembagaan. Dalam ini, Perkara 10(3) membenarkan sekatan yang menyentuh kepentingan keselamatan Persekutuan, ketenteraman awam, kemoralan, perburuhan atau pendidikan digubal melalui undang-undang Persekutuan.

Contohnya, tindakan lompat parti telah diakui oleh ramai Ahli Parlimen sebagai tidak bermoral atau rendah moral.

Oleh itu, sekatan dalam kebebasan berpersatuan boleh dibenarkan tanpa meminda Perkara 10. Sebaliknya cukup dengan undang-undang sedemikian digubal terus oleh Parlimen. Itu adalah rumusan daripada keputusan Mahkamah Persekutuan tadi.

WS: Bagaimana pula dengan Perkara 48 yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan?

Datuk Dr Wan: Menurut Perkara 48, keanggotaan Ahli Parlimen boleh terlucut sekiranya seorang Ahli Parlimen telah didapati atau diisytiharkan tidak sempurna akal; atau dia seorang bankrap belum lepas; atau dia memegang sesuatu jawatan berpendapatan; atau setelah dinamakan untuk pemilihan ke mana-mana satu Majlis Parlimen atau ke Dewan Undangan sesuatu Negeri, atau setelah bertindak sebagai ejen pilihan raya bagi seseorang yang dinamakan sedemikian, dia tidak menyerahkan apa-apa penyata perbelanjaan pilihan raya yang dikehendaki oleh undang-undang dalam masa dan mengikut cara yang dikehendaki sedemikian; atau dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas; atau dia telah dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan, atau telah dengan sukarela menggunakan hak kewarganegaraan di mana-mana negara di luar Persekutuan atau telah membuat suatu akuan setia kepada mana-mana negara di luar Persekutuan.

WS: Bolehkah Undang-undang Persekutuan membuat peruntukan bagi menghilangkan kelayakan untuk menjadi Ahli Parlimen bagi tempoh tertentu?

Datuk Dr Wan: Boleh, Perkara 48 juga ada memperuntukkan bahawa Undang-Undang Persekutuan boleh membuat peruntukan bagi menghilangkan kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen selama tempoh yang dinyatakan oleh undang-undang itu orang yang melakukan kesalahan berkaitan dengan pilihan raya, dan mana-mana orang yang telah disabitkan atas suatu kesalahan sedemikian atau dibuktikan dalam prosiding yang berhubungan dengan sesuatu pilihan raya sebagai bersalah atas perbuatan yang menjadi kesalahan itu selama tempoh yang dinyatakan sedemikian.

WS: Jadi boleh Datuk terangkan secara ringkas, apakah objektif cadangan peruntukan anti lompat parti ini?

Datuk Dr Wan: Objektif utama yang mudah difahami adalah untuk menghukum Ahli Parlimen yang meninggalkan parti yang menamakannya dalam proses pilihan raya, bukanlah tegahan untuk menyertai parti lain sehingga melucutkan hak untuk berpersatuan secara mutlak.

Kedudukan tersebut amat jelas kerana implikasi Ahli Parlimen yang dilucutkan keahlian parti juga menjadi tajuk perbincangan hangat.

WS: Apakah wajar untuk membuat pindaan bagi memasukkan sekatan hak kebebasan Ahli Parlimen atau DUN untuk menyertai parti lain?

Datuk Dr Wan: Saya berpandangan itu tidak perlu. Hak tersebut tidak wajar disentuh sebaliknya apa yang harus digubal adalah implikasi tindakan Ahli Parlimen yang menyalahi mandat rakyat dan kesetiaan kepada parti yang menamakannya sebagai calon dalam pilihan raya.

WS: Akhir kata, apa yang Datuk harapkan dalam isu RUU ini?

Datuk Dr Wan: Diharapkan RUU berkaitan digubal mengikut keperluan dan berobjektif. Saya sendiri berminat untuk menelitinya bagi mendapatkan gambaran yang lebih tepat kerana pindaan itu menyentuh kepentingan dan hak kita sebagai pengundi.

WS: Baiklah, terima kasih datuk kerana sudi diwawancara portal samudera.my.

Datuk Dr Wan: Sama-sama, terima kasih kembali, kerana sudi wawancara saya berhubung isu ini.

Leave a Reply

Back to top button