Tawar Khidmat Pelacuran, ‘Rumah Merah’ Diarah Tutup Serta Merta
KUALA LUMPUR, 13 Februari 2023 – Empat premis yang disyaki menawarkan khidmat pelacuran dikenakan tindakan tutup serta merta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menerusi sebuah hantaran di laman Facebook rasmi DBKL, pihaknya menerusi Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan Tindakan Khas Premis Berisiko (Aktiviti Pelacuran) Siri 1/2023 di sekitar Jalan Petaling, Kuala Lumpur pada jam 9 malam, Sabtu, 11 Februari lalu.
BACA JUGA: Perkhidmatan Awam: Ini Soal Gaji, Bukan Peluang & Perkauman – Wan Ahmad Fayhsal
BACA JUGA: Qatar Sumbang Kabin Piala Dunia Buat Turkiye Dan Syria
BACA JUGA: Melayu Tamak, Lemah Pentadbiran Punca Kehilangan Tanah Rizab
Menerusi operasi tindakan khas ini, sebanyak empat buah premis diserbu pihak penguatkuasa DBKL sekali gus seramai 36 orang wanita warga asing ditahan yang terdiri daripada 26 warga Indonesia, lima orang warga Bangladesh, dua orang warga India, seorang warga Sri Lanka serta seorang warga China yang disyaki pelayan seks.
Manakala, sebelas orang lelaki warga tempatan dan warga asing yang dipercayai pelanggan turut diperiksa sewaktu serbuan dijalankan.
Empat buah premis berkenaan dikenakan tindakan penutupan serta merta (sealed) di bawah Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Bukan itu sahaja, empat notis kompaun turut dikeluarkan dibawah UUK 3(1) UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 kerana menjalankan apa-apa aktiviti perniagaan tanpa kebenaran dan lesen pihak DBKL.
Dalam kenyataan sama, sebanyak 54 buah sekatan bilik yang dibina tanpa kelulusan telah dipecahkan oleh pihak DBKL dan sebanyak 155 barangan bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral seperti kondom, gel pelincir, tisu basah, monitor dan CCTV turut disita.
“Barangan yang disita, dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL, Jalan Lombong, Taman Miharja Kuala Lumpur untuk didokumentasi dan penyimpanan sementara sebelum tindakan lanjut terhadap pemilik premis,” memetik kepada hantaran DBKL tersebut.
Pihak DBKL juga telah mengenalpasti premis-premis yang dijadikan sebagai pusat pelacuran dan pengaturan tindakan penguatkuasaan sedang giat dilaksanakan secara berperingkat.