Ratusan PATI Berjaya Diusir Melalui Laut
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KOTA KINABALU, 11 Disember 2022 – “Program pemindahan tahanan PATI siri 20 untuk kategori usir melalui laut itu membabitkan seramai 469 tahanan warganegara Filipina yang sebelum ini ditempatkan di Depot Imigresen Tawau,” kata Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff.
Kenyataan ini dikeluarkan menerusi laman Facebook Jabatan Imigresen Sabah.
“Kesemua tahanan yang diusir keluar dari Sabah itu berusia di bawah 23 bulan sehingga 82 tahun. Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing,” kata Datuk Sh Sitti Saleha.
PATI-PATI itu dihantar pulang dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1 melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga, Filipina.
Walau bagaimanapun, tahanan PATI yang terlibat kali ini hanyalah tahanan warganegara Filipina dari Depot Imigresen Tawau sahaja.
Tambah Datuk Sh Sitti Saleha, kesemua PATI tersebut telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Kesemua mereka telah selesai menjalani hukuman dan tindakan perundangan negara sebelum dipindahkan keluar dari Sabah.
Selain laut, pihak Imigresen Sabah juga menghantar pulang PATI yang berjaya ditahan melalui pengangkutan udara dan darat.
Seramai 5,394 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada pelbagai negara berjaya diusir keluar sepanjang tempoh Januari hingga 8 Disember tahun ini
Justeru, beliau mengingatkan semua warga asing yang masuk ke Sabah perlu memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan (untuk bekerja di Sabah).