Perkhidmatan LRT Digantung Seminggu, DBKL Tambah Laluan Bas GOKL
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 11 November 2022 – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan laluan khas Perkhidmatan Bas GOKL membabitkan enam bas mulai hari ini susulan gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya yang bermula pada 9 November 2022 lalu.
Laluan khas ini meliputi laluan Pasar Seni-Masjid Jamek-KLCC dengan kekerapan setiap 10 minit pada waktu puncak iaitu pukul 7 pagi sehingga 9 pagi dan 5 petang sehingga 8 malam, maklum Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah.
Selain itu, DBKL juga menambah bilangan bilangan warden trafik di kawasan yang mempunyai aliran trafik yang tinggi dengan kekuatan keseluruhan seramai 45 orang di samping memberikan bantuan dan kerjasama kepada pihak Prasarana Malaysia Berhad, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi sahabat yang lain bagi memastikan kelancaran trafik dan memberikan kemudahan kepada pihak yang terkesan.
Malah, kekerapan penyuraian trafik turut ditingkatkan dengan menambah dua lokasi ‘point duty’ melibatkan Jalan Jelatek dan Jalan Datuk Keramat daripada 13 lokasi sedia ada.
Baru-baru ini, Rapid KL memaklumkan bahawa perkhidmatan LRT di 16 buah stesen akan digantung bermula dari 9 November hingga 15 November 2022 atas sebab gangguan teknikal.
Susulan masalah itu, hampir semua laluan masuk ke ibu negara sesak kerana orang ramai terpaksa memandu kereta ke tempat kerja.
Netizen menerusi media sosial meluahkan kekesalan dengan masalah LRT yang kerap mengganggu perjalanan harian mereka untuk menyelesaikan urusan harian.